Malam ini Kak Ain dan Cik Abang mengadakan sesi menjana idea bagi menulis dan menambah koleksi novelcomel. Seperti yang diketahui, setakat ini sudah ada 9 novelcomel AinMaisarah:
1) Penubuhan The Wannababes 1
2) Rahsia Linda
3) Rahsia Jambul Kembang Cikgu Amnah
4) Rahsia Hati Mr. LobakLobak
5) Ada Apa Dengan Farah & Fahrin
6) The Toiletbabes
7) Cinderella di Aidilfitri
8) Ops Pikat di Aidilfitri
9) Buaya Darat New York
Tahun 2009 ini, Kak Ain merancang mahu menambah lagi tajuk-tajuk novelcomel. Antara tajuk yang sudah pasti ditulis ceritanya adalah:
1) Penubuhan The Wannababes II
2) Amir VS Fahrin
3) Konflik Keluarga Fasha
Kak Ain juga akan menulis kisah peribadi ala-ala profail sulit kesemua tujuh ahli The Wannababes. Hah! Nampaknya sudah ada 10 tajuk yang menunggu Kak Ain mengarang ceritanya satu per satu! Berasaplah kepala Kak Ain dibuatnya!
Cik Abang juga sudah menyiapkan layout cadangan desain kulit novelcomel Konflik Keluarga Fasha. Ini adalah contohnya:

Selain tajuk-tajuk di atas, Kak Ain juga ingin dengar pendapat para pembaca semua. Apa lagi cerita-cerita disebalik tabir siri Aku Mahu yang ingin diketahui?
Kepada yang mahu berkongsi idea dan cadangan, bolehlah tuliskannya di bahagian komen. Di sini Kak Ain sertakan satu sinopsis novelcomel yang Kak Ain tulis. Ala-ala sneak preview gitu! =D
Tajuk: Konflik Keluarga Fasha
Sinopsis: Sebaik pulang dari New York, Fasha terperangkap di tengah-tengah perang dunia ketiga ibubapanya. Setiap hari Fasha terpaksa menahan telinga dan menjeruk rasa. Dia bosan mendengar caci maki mama yang tak henti-henti. Dia kecewa dengan papa yang kahwin satu lagi. Dia betul-betul tak percaya, kini dirinya sudah ada mak tiri! Fasha mula mencari jalan keluar dari konflik keluarganya. Mujur ada rakanThe Wannababes yang setia menemani.
Cerita Konflik Keluarga Fasha ini sudah siap Kak Ain tulis. Kak Ain akan teruskan menulis tajuk-tajuk novelcomel yang lain pula. Kepada para pembaca, mari berkongsi idea dan pendapat dengan Kak Ain di bahagian komen ya!
Salam Hujung Minggu,
AinMaisarah






Apa yang hebat sangat dengan The Wannababes? Kenapa nama mereka disebut-sebut? Apa kriteria nak jadi ahli? Siapa pengasasnya? Ketahui semua rahsia dan kisah penubuhan kumpulan paling popular di Sekolah Menengah Sri Bangsar.
Cikgu Amnah adalah guru yang paling digeruni di Sekolah Menengah Sri Bangsar. Melihat kelibat jambul kembang semangkuknya sahaja, semua pelajar bertempiaran lari tak jejak bumi. Adakah Cikgu Amnah sejak dari azali lagi punya genetik kegarangan sebegitu? Atau ada kisah yang disembunyikannya selama ini?
Buat pertama kali dalam sejarah, tujuh ahli The Wannababes dihukum cuci tandas selama tiga bulan. Semua itu kerana membuli seorang pelajar baru. Dapatkah The Wannababes menahan hidung comel mereka bergelumang dengan aroma tandas setiap hari? Atau mungkinkah mereka cari jalan melepaskan diri?
Impian Diana mahu menggayakan kasut mahal GUESS ketika berhari raya akhirnya termakbul juga. Dapatlah dia kembang-kembang hidung menunjuk pada segenap orang kampung. Sewaktu beraya, kasut yang disayang tiba-tiba menghilang. Diana rasa nak mati! Tak sempat lagi dia buat sesi menunjuk dengan The Wannababes di sekolah. Dapatkah kasutnya itu ditemui? Atau perkara lain pula yang mengetuk pintu hati?
Sesi persekolahan bermula lagi. Fasha sibuk menayang beg duit barunya. Habis dicanang satu sekolah. Konon beg Louis Vuitton itu sama taraf dengan diva Siti Nurhaliza. Nana pula berbangga dengan cincin Tous barunya. Diana tampil dengan jam tangan ESPRIT. Pendek kata, semua ahli The Wannababes bergaya dengan barang berjenama. Hanya Linda mengambil sikap berkecuali. Dia senyap sahaja. Tiada siapa mengetahui, hatinya marak dibakar api cemburu. Menyala-nyala sekali.
Tiada siapa tahu betapa dalamnya rasa hati Mr.LobakLobak terhadap Widya yang jauh di mata. Apabila dia terpaksa mengambil keputusan berat itu, hatinya luka sekali. Tidak pernah dia merasa seksa sebegini. Namun demi kebaikan bersama, dia rela berkorban. Apa pengorbanan Mr.LobakLobak? Ketahui kisah hatinya dalam novel comel ini.
Gosip bertiup kencang sekali. Satu sekolah sudah bercerita. Semua mulut hebat memperkata. Kononnya Fasha ketua The Wannababes ada hubungan istimewa dengan Fahrin, hero kacak Sri Bangsar. Namun tidak pernah gosip itu disahkan oleh tuan punya diri. Satu sekolah kekal tertanya-tanya. Apa hubungan Fasha dengan Fahrin sebenarnya?
Eksklusif! Gambar-gambar di sebalik tabir pembikinan album kumpulan paling ngetop iaitu Sixth Sense. Ketahui latarbelakang kesemua ahli kumpulan.Bila tarikh lahir Adi? Apa yang paling ditakuti oleh Wan si pemain dram? Dapatkan juga lirik-lirik lagu menyengat mereka. Antara yang meletup kala ini ~ Tak Bisa Memilihmu dan Rayuan Gombal.
