Salam hari Khamis. 28 Ogos 2008. Semakin hari semakin menghampiri Ramadhan. Semakin hari juga makin dekat dengan tarikh-tarikh peperiksaan penting iaitu UPSR, PMR dan SPM.
Kak Ain ada menerima satu e-mel dari ahli Kelab Teman Tapi Mesra yang menyatakan kegelisahan yang dialami.
Assalamualaikum Kak Ain.
Maaf kerana menggangu Kak Ain yang sedang sibuk. Harap Kak Ain membaca emel ini sehingga habis.
Kak Ain,
Peperiksaan UPSR bakal tiba pada 9/9/2008 akan datang. Saya mula berasa gerun dan tidak yakin menjawab soalan oleh kerana pelajaran yang telah dihafal mudah hilang dari otak.
Sudah menjadi rutin harian saya pergi ke sekolah kebangsaan pada waktu pagi dan ke sekolah agama pada waktu petang. Pada hari Isnin dan Jumaat, ada tuisyen pula. Betul-betul selepas habis waktu persekolahan agama. Adalah menjadi kelaziman bagi saya menghafaz pelajaran yang telah diajar guru pada waktu itu juga dan berusaha untuk menyimpannya dalam otak saya.
Namun, jika saya menghafal sesuatu pelajaran di sekolah kebangsaan, perkara-perkara itu akan hilang begitu sahaja jika saya belajar sesuatu yang baharu di sekolah agama. Oleh sebab pelajaran di sekolah agama lebih sukar, saya lebih banyak berfikir dan pelajaran sekolah kebangsaan yang dihafal telah hilang. Begitu jugalah peristiwanya jika saya ada kelas malam. Kadang-kadang, saya berasa begitu tertekan dan mula berputus asa.
Jika saya pergi mencari ketenangan saperti bercuti berrsama keluarga, entah mengapa, semasa bercuti pasti teringat akan perkara-perkara yang menyebabkan saya tertekan dan pasti tidak dapat berehat dengan aman.
Oleh sebab itulah saya kurang berkeyakinan menhadapi soalan UPSR nanti. Saya mengharapkan doa Kak Ain agar saya berjaya dalam peperiksaan besar yang kali pertama saya akan tempuhi ini. Saya minta agar Kak Ain mafkan segala kesalahan yang pernah saya lakukan pada Kak Ain secara sengaja atau tidak seperti terumpat Kak Ain atau tertulis ayat yang menyakitkan hati Kak Ain semasa menghantar komen di Rumah Pink atau e-mel.![]()
Salam gerun,
Nurul Farhana @ Farah
Aduh! Kak Ain pun berdebar-debar bila mengetahui UPSR hanya tinggal 12 hari lagi menjenguk muka pintu kalendar. Kak Ain tumpang doakan dari jauh. Moga-moga Cik Adik Farah dan calon-calon UPSR lain ditenangkan hati, dibukakan minda dan dipermudahkan menjawab soalan-soalan UPSR.
Kepada rakan-rakan lain, apa kata kita sama-sama bantu dengan berkongsi tips-tips kecemasan buat para calon UPSR? Boleh juga letakkan kata-kata semangat dan ucapan selamat di bahagian komen.
Salam Sayang,
AinMaisarah
























































