Showing posts with label Pesta Buku 2010. Show all posts
Showing posts with label Pesta Buku 2010. Show all posts

19 April 2010

Laporan Rumusan Pesta Buku 2010: Bhg 2

Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Kak Ain harapkan semua pembaca berada dalam kesihatan dan kesejahteraan yang berpanjangan. Kak Ain sendiri demam tetapi sedang melawan virus dengan bersungguh-sungguh! =D

Seperti dijanjikan (walaupun terlewat sedikit!) ... hari ini Kak Ain sambung tugas jadi penglipurlara. Menceritakan kembali pengalaman berkampung di PWTC selama 10 hari. Oleh kerana ini kali pertama Kak Ain dan Cik Abang membuka gerai ketika Pesta Buku, kami betul-betul tidak dapat menjangka bebanan kerja yang menunggu tersangatlah mencabar fizikal.

1) Persiapan hiasan gerai

Namanya pun Kedai Pink AinMaisarah, maka tentu sekali segalanya mesti berwarna pink! Bagi hiasan gerai, Kak Ain dan Cik Abang membelanjakan hampir RM2000 bagi membeli meja-meja IKEA, langsir putih IKEA, langsir pink di JACKEL dan KAMDAR, frame gambar IKEA, bunga-bungaan penghias gerai dan papan tanda nama AinMaisarah yang ditempah khas.

Memang letih berjalan ke sana sini untuk mendapatkan bahan-bahan tersebut. Perbelanjaan perlu minima tetapi impaknya perlu tampak besar. Mujur sewaktu pembelian, JACKEL dan KAMDAR memang ada SALE! =) Lega sedikit!




Sepanjang pencarian hiasan gerai juga, Kak Ain hanya memegang segalanya yang berwarna pink semata-mata. Tanpa Kak Ain sedar, Kak Ain pun asyik pakai tudung pink yang sama! Rasanya tudung pink itu beri kekuatan untuk Kak Ain terus bergerak. Waktu itu tidur memang tidak cukup. Hanya 3-4 jam tidur waktu malam. Siang harinya pula berkejar ke kilang cetak, kedai keychain, membelah jalanraya Masjid India dan menjelajah IKEA.

Tengok sahaja mata Kak Ain yang lebam macam panda! =(




Namun Alhamdulillah, segalanya dapat diselesaikan walaupun mempunyai kapasiti tenaga kerja dua orang sahaja bagi persiapan sebelum Pesta Buku.

Tenaga kerjanya tentulah Kak Ain dan Cik Abang! =D Dua suami isteri yang bergabung tenaga menjadi sekuat Gaban! Hehehe!

2) Angkut-mengangkut sehari sebelum Pesta Buku


Seperti semua sedia maklum, Pesta Buku bermula 19 Mac 2010. Tetapi kepada semua pempamer, kami dibenarkan masuk sehari lebih awal iaitu pada 18 Mac 2010. Dewan mula dibuka pukul 9.00 pagi dan semua dibenarkan berhias hingga 5.00 petang. Sewaktu itu, Kak Ain dan Cik Abang memang sudah bersiap-sedia di rumah seawal pukul 6.00 pagi.

Kami mula menyusun atur buku yang perlu dibawa, senarai alatan di gerai, hiasan gerai, sistem mesin POS (payment online sistem) dan segala keperluan sepanjang 10 hari di PWTC.

Pukul 8.00 pagi, lori yang disewa sampai ke kondo. Mulanya kami mahu menggunakan 2 kereta untuk berulang-alik mengangkat barang dari rumah ke PWTC.

Tapi oleh kerana barang banyak sangat-sangat-sangat, pada saat-saat akhir Cik Abang membuat keputusan menyewa lori pada kadar RM180. Biar buat kerja sekali sahaja. Biar banyak masa boleh digunakan untuk membuat persiapan gerai di PWTC.

Lihatlah betapa banyaknya barang yang perlu diangkut. Meja-meja IKEA besar dan kecil... semuanya kami bawa!




Segala buku-buku dibawa menggunakan kereta syarikat Cik Abang.




Sewaktu itu, proses membawa barang-barang ke PWTC betul-betul macam proses pindah rumah!




Itu belum lagi mengangkut teddybear dan seahorse. Semua hadiah-hadiah diangkut menggunakan kereta Kak Ain. Tapi kami tak bawa semua. Setiap hari kami membawa tiga teddybear dan tiga seahorse untuk diberi kepada pengunjung bertuah. Teddybear yang berbaki melepak tidur di atas katil rumah Kak Ain =D




3) Menurunkan barang-barang di PWTC

Alhamdulillah, perjalanan dua kereta dan satu lori di PWTC lancar dan tidak tersekat. Namun cabaran seterusnya menanti. Cabaran mahu memunggah barang-barang di PWTC. Ikutkan peraturan, semua lori mesti memunggah barang di bahagian belakang bangunan PWTC. Tetapi apabila kami sampai pukul 9.00 pagi, lori daripada pelbagai penerbitan lain sudah beratur panjang macam gerabak keretapi.

Paling pening apabila Kak Ain dan Cik Abang turun ke bawah. Melihat sendiri lif untuk loading barang. Hanya satu lif berfungsi dan barisan beratur melebihi kepanjangan barisan membeli tiket raya di Puduraya.




Keadaan di kawasan loading pula panas dan sangat tidak selesa. Ketika itu Cik Abang pandang Kak Ain. Kak Ain mengeluh pasrah. Tidak dapat membayangkan, bagaimanakah mahu berulang-alik mengangkat barang-barang yang penuh satu lori? Paling merisaukan, perlu tunggu giliran menaiki lif! Entah-entah sampai pukul 2.00 petang pun semua barang tidak dapat diangkat naik ke gerai!

Bincang punya bincang... kami nekad mencuba loading barang di pintu masuk utama PWTC. Cik Abang arahkan lori dan dua kereta parking di bahagian atas. Segala barang diturunkan secepat mungkin sebelum pengawal menegur dan mengarahkan kami berpindah tempat.




Kak Ain pula jadi penunggu setia sementara Cik Abang dan adik-adik ipar berulang-alik membawa naik semua barang-barang ke gerai.




Kak Ain juga bertindak meminta masa tambahan apabila pengawal datang menghalau. Dengan muka sepuluh sen, Kak Ain akan merayu, "Lima minit lagi, Tuan. Lima minit sahaja lagi."

Padahal, hampir dua jam juga masa yang diambil untuk memindahkan semua barang dari pintu masuk PWTC ke gerai! Hehehe... lima minit yang diminta berlarutan hingga dua jam!

Akhirnya pengawal pun putus asa dan hanya jeling Kak Ain setiap kali lalu di situ! =D

3) Lokasi gerai di PWTC

Selesai mengangkat barang, Kak Ain dan Cik Abang berjumpa penganjur. Pertama kali mengetahui lokasi kedai kami... waktu itu memang berdebar-debar. Janganlah dapat gerai di belakang sekali. Minta-minta dijauhkan dari lokasi terperosok dan tidak dilalui pengunjung. Harap kedudukannya strategik sekaligus memudahkan para pembaca menjumpainya!

Semua pempamer diminta ke kaunter bagi mendapatkan pas masuk dan lokasi gerai.




Dapat sahaja gerai, Kak Ain mampu tersenyum senang. Walaupun tidaklah terletak betul-betul berdepan pintu masuk, sekurang-kurangnya ia berada di tengah-tengah dewan. Berhadapan pula dengan gerai SASBADI yang boleh dijadikan landmark kepada para pembaca AinMaisarah untuk mencari gerai Kak Ain dengan lebih mudah.

4) Merealisasikan Kedai Pink AinMaisarah!

Selesai tugasan angkut mengangkut, kami pergi makan tengahari. Mesti ada tenaga tambahan kerana masih banyak kerja yang menanti untuk dilangsaikan. Ketika inilah, Kak Izanor Sharif, penulis bersama buku 'Aku Mahu Superbibik' muncul untuk menghulurkan bantuan.

Lega sedikit hati Kak Ain! Selain Kak Izanor, adik-adik ipar juga datang menghulurkan bantuan. Kerja jadi lebih cepat. Antara perkara paling awal yang perlu dibuat adalah memasang semua kaki-kaki meja IKEA. Setelah itu, perlu letakkan alas meja pula. Apa lagi kalau bukan alas meja warna pink juga! =D



Kak Ain diberi tugas utama memasang langsir putih pada bahagian keliling 12 panel. Oleh kerana kami tidak dibenarkan menebuk, memaku atau mencederakan panel pihak penganjur, maka cara terbaik adalah dengan menggunakan.....

PENYEPIT! =D Hehehe...




Tapi susah juga. Kain langsir perlu diregangkan betul-betul. Barulah tidak jatuh dan tidak melendut ke bawah. Waktu itu Kak Ain rasa betul-betul macam suasana hari raya bila pasang langsir di tengah-tengah PWTC!

Setelah Kak Ain pasangkan langsir, Kak Izanor bertugas menampal bunga hiasan pula. Bunga hiasan ini Kak Ain beli di Mid Valley. Ramai yang berkenan. Ada pembeli yang minta percuma satu bunga untuk dibawa balik sebagai kenangan. Hehehe... macam-macam ragam pembaca buku AinMaisarah!




Setiap panel perlu dipenuhi bunga hiasan ini. Cara menampalnya adalah menggunakan double sided tape. Itu sebab utama Kak Ain memasang langsir putih terlebih dahulu. Ini supaya double sided tape melekat pada langsir dan bukannya pada panel. Pihak penganjur tidak benarkan kekotoran kekal mengenai mana-mana panel. Nanti pempamer boleh kena denda!



Kak Izanor juga perlu memanjat atas meja untuk menampal bunga. Besar sungguh pengorbanan Kak Izanor. Sanggup bersusah-payah dengan tim AinMaisarah demi merealisasikan Kedai Pink AinMaisarah sewaktu Pesta Buku. TQ dear!




Inilah hasilnya padanan bunga dan langsir putih yang sudah siap digantung. Haaa.... cantik tak?




Sewaktu Kak Ain dan Kak Izanor menghiasi bahagian panel gerai... adik-adik ipar bertugas menyusun buku dan mengira stok. Kedai Pink AinMaisarah bukan sahaja menjual buku-buku tulisan Kak Ain semata-mata... kami mempamerkan dan mempromosikan juga buku-buku remaja penulis PTS yang lain.




Itulah fokus dan differentiation point yang dibawa oleh Kedai Pink AinMaisarah. Kami akan fokus menjual buku-buku remaja sahaja. Jika satu hari nanti Kak Ain dapat peluang buka kedai buku sendiri, Kak Ain mahu kedai itu menjual buku-buku remaja semata-mata! Itulah angan-angan Kak Ain. Doakan ianya terealisasi ya!

Selain mengatur buku, di gerai Kak Ain juga ada meja khas yang menempatkan semua merchandise The Wannababes. Antaranya keychain The Wannababes yang laku macam goreng pisang panas. Sekejap sahaja perlu diisi kembali memenuhi palang besi yang Kak Ain beli khas untuk mempamerkan keychain.




Setelah siap semuanya... barulah hadiah seahorse digantung dan dibiarkan tergolek ke kiri dan ke kanan dengan penuh comelnya. Ish... Kak Ain suka betul lirikan mata seahorse yang sangat manja! =D




Teddybear pula pada awalnya disusun di luar gerai. Tapi oleh kerana teddybear bernasib malang dan menerima layanan kasar oleh pengunjung yang tidak diketahui hingga mencungkil mata teddybear (sila lihat bukti teddybear mata satu....) Kak Ain terpaksa ambil keputusan menyusunkan semua teddybear ke bahagian dalam gerai. Sempit jadinya gerai yang sudah sedia terhad ruang berjalan.




Tak apalah. Tahun depan jika ada rezeki untuk Pesta Buku 2011... Kak Ain tambahkan bilangan gerai yang disewa. Tetapi perlu siap sedia menambah bayaran $$$ juga!

Akhirnya, setelah bertungkus-lumus sehari sebelum Pesta Buku berlangsung... inilah hasilnya dekorasi Kedai Pink AinMaisarah!



Gambar ini diambil ketika Kedai Pink AinMaisarah berada dalam keadaan paling cantik. Selepas itu apabila diserbu pengunjung yang datang bagaikan gerombolan tentera.... habis semua langsir senget-benget dan bunga-bungaan tercabut! Hehehe... rindu sungguh bila ingat-ingat kembali suasana meriah itu!



Okeylah... sudah panjang Kak Ain menaip. Nanti Kak Ain sambung laporan ketiga. Laporan tentang kejadian-kejadian mencuit hati sepanjang Pesta Buku pula!

Setia bersama www.ainmaisarah.com ya! =D

Salam Sayang,
AinMaisarah

14 April 2010

Laporan Rumusan Pesta Buku 2010: Bhg 1

Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Hari ini akhirnya Kak Ain punya masa terluang untuk mengarang entri yang panjang-panjang. Ianya tentulah laporan tertangguh berkaitan Pesta Buku 2010. Kak Ain buat laporan ala-ala rumusan sepanjang 10 hari Kak Ain berkampung di PWTC. Panjang betul yang Kak Ain mahu ceritakan dan kongsikan bersama.

Hmm.. harap-harap tiada pengunjung blog yang tertidur pula ketika membacanya ya! ;D

1) Misi utama menyertai Pesta Buku 2010

Sepertimana semua sedia maklum, Pesta Buku bermula 19 Mac 2010 dan berakhir 28 Mac 2010. Pesta buku tahun ini, Kak Ain menyewa dua gerai. Satu gerai sewanya RM4800. Jadi jumlah sewa yang perlu dibayar adalah RM9800. Hampir RM10,000 jumlah duit dari poket sendiri yang perlu dikeluarkan bagi membolehkan Kak Ain mempunyai gerai sendiri ketika Pesta Buku. Ianya satu pelaburan yang dilakukan demi mencapai dua misi penting:

a) Memperkenalkan branding jenama AinMaisarah dan produk-produk yang dihasilkan.

b) Bertemu seramai mungkin pembaca buku AinMaisarah dan bertentang mata supaya lebih mesra =D

2) Persiapan Pesta Buku 2010

Sebenarnya dua minggu sebelum Pesta Buku, Kak Ain sudah berdebar semacam. Berdebar kerana banyak kerja-kerja belum dilunaskan. Berdebar memikirkan sambutan pembaca. Berdebar kerana terlalu banyak minum kopi semata-mata mahu berjaga malam. Waktu itu, hanya Cik Abang yang tahu betapa takutnya Kak Ain mahu memulakan langkah pertama membuka gerai sendiri ketika Pesta Buku di PWTC.

Antara persiapan yang perlu dilakukan adalah menempah merchandise The Wannababes. Tahun ini Kak Ain dan Cik Abang hanya dapat menyiapkan keychain The Wannababes dan button badge The Wannababes.




Ramai sangat suka keychain Fasha. Paling kurang disukai adalah keychain Fazura. Isk! Tak baiklah pilih kasih! ;D

Kak Ain juga berhempas-pulas menyiapkan Profile The Wannababes. Ilustrasinya daripada Kartunis Ubi. Isi kandungannya pula oleh Kak Ain sendiri. Mujur profile ini sempat siap mengikut masa walaupun direncana pada minggu terakhir sebelum Pesta Buku.




InsyaAllah, tahun depan kami mahu tambah beberapa item lagi dalam senarai merchandise. Antara yang sudah ada dalam perancangan adalah tuala The Wannababes, topi The Wannababes dan beg sekolah yang stylo... juga jenama The Wannababes.

Dalam kepala Kak Ain sudah membayangkan dan berangan-angan The Wannababes ada beg yang ala-ala beg merah ini.


Tetapi mestilah mempunyai logo The Wannababes. Haaa... cantik tak?

Kak Ain harap sangat dapat siapkan semua ini untuk Pesta Buku 2011 pada tahun hadapan. Doakan Kak Ain dapat buku gerai lagi pada Pesta Buku 2011 ya! Tahun 2011 nanti tentu lebih seronok, lebih banyak merchandise dan harapnya lebih banyak buku yang menanti pembaca semua!

3) Debaran menanti buku-buku baru

Selain menyiapkan merchandise, Kak Ain juga asyik berulang-alik ke kilang cetak bagi memastikan dua buku baru sempat disiapkan sempena Pesta Buku 2010. Dua buku itu adalah:

'Aku Mahu Superbibik' tulisan bersama Kak Izanor Sharif & 'Projek Diet AinMaisarah' tulisan bersama Kak Rose Harissa.




Dua buku ini adalah buku yang ditunggu-tunggu oleh para pembaca. Jadi Kak Ain mesti pastikan ianya siap ketika Pesta Buku... walau dengan apa cara sekalipun! (hehehe... macam tagline Syarikat Impiana, kan?)

Itu sebabnya Kak Ain sanggup berkampung di kilang cetak bersama Kak Ann ketika hujung minggu, dari pagi sampai petang! Akhirnya, buku 'Aku Mahu Superbibik' berjaya disiapkan dan diambil pada hari Khamis (sehari sebelum bermula Pesta Buku) manakala buku 'Projek Diet AinMaisarah' pula siap pada hari Sabtu (hari kedua Pesta Buku)

Alhamdulillah, dua buku ini menjadi buku best seller yang paling banyak dijual di Kedai Pink AinMaisarah. Buku 'Aku Mahu Superbibik' juga menjadi buku remaja yang paling laris dijual di Gerai PTS. Fuh.... terasa berbaloi sungguh usaha mengejar kilang percetakan!

4) Cetakan sendiri Impiana III

Selain dua buku baru untuk Pesta Buku, Kak Ain juga mengusahakan mencetak sendiri manuskrip Impiana III. Sememangnya Impiana III adalah buku siri terakhir yang menceritakan tentang kisah pelajar-pelajar Sri Bangsar di alam dewasa pada ketika karektor berumur 27 tahun. Selepas habis Impiana III, Kak Ain tidak akan menyambung siri ini lagi.

Itu sebabnya Kak Ain mahukan yang terbaik untuk Impiana III. Kak Ain mahu para pembaca merasakan buku Impiana III menyamai expectation Impiana I dan Impiana II. Kak Ain mahu para pembaca mengingati tiga siri Impiana dengan rasa puas hati dan berbaloi menunggu pengakhirannya.

Setelah berbincang, Kak Ain dan Cik Abang mengambil keputusan mencetak dahulu edisi manuskrip asal Impiana III. Kak Ain mahu dapatkan respons dan maklumbalas para pembaca setia. Kak Ain mahu tahu, adakah pengakhiran sebegitu dapat diterima para pembaca. It is good enough to be the finale of Impiana?

Jadi demi mendapat kepuasan hati maksimum, Kak Ain sanggup keluarkan duit sendiri mencetak Impiana III. Ianya juga bagi tidak menghampakan para pembaca yang sudah tertunggu-tunggu Impiana III sekian lama.




Bagi mencetak manuskrip Impiana III, Kak Ain terpaksa mencari kilang cetak yang sanggup mencetak buku ini dalam masa 7 hari. Setelah turun naik tangga, jumpa juga dengan sebuah syarikat berdekatan Penjara Pudu yang sanggup mencetak Impiana III. Cuma satu sahaja yang memeningkan kepala. Semua kos percetakan mesti dibayar tunai. Kalau nak tahu, kos percetakan semua 9 buah novelcomel dan manuskrip Impiana III mencecah RM20,000!

Mujur Cik Abang menenangkan Kak Ain. Katanya ini semua adalah pelaburan masa depan bagi memastikan produk-produk AinMaisarah ada rangkaian barang-barang merchandise. Cik Abang asyik mengulang juga, kita mesti bersusah-susah dahulu dan bersenang-senang kemudian. Akhirnya Kak Ain akur. Keluarkan RM20,000 untuk membayar kos novelcomel dan cetakan sendiri Impiana III.

Yalah... penulis mesti ikut cakap pengurus kan? Pengurus Kak Ain iaitu Cik Abang memang sentiasa mengingatkan bahawa pelaburan wang, tenaga dan masa adalah penting bagi menaikkan branding AinMaisarah.

Moga-moga usaha Kak Ain ini terbayar dengan peningkatan jualan buku dan memperkenalkan lagi nama AinMaisarah. Amin.

5) Persiapan packaging untuk para pembeli

Bagi persiapan membuka gerai di PWTC, Kak Ain juga perlu memastikan ada packaging yang sesuai untuk para pembeli. Tahun lepas, jika semua ingat lagi... Kak Ain menyediakan paperbag hitam yang ada tandatangan AinMaisarah ketika membuat perasmian buku BSB: Kini Berwajah Baru.

Tahun ini, Kak Ain dan Cik Abang sampai pening-pening kepala memikirkan cara terbaik untuk menyediakan packaging pembeli. Kak Ain tak mahu pembeli yang membeli buku di Kedai Pink AinMaisarah hanya mendapat plastik biasa. Kak Ain mahu ada sesuatu yang istimewa untuk mereka bawa pulang.

Setelah melakukan survei barangan, kami membuat keputusan membeli kotak-kotak comel berwarna merah dan pink ini. Memang comel dan tentu disukai pembaca. Kami membeli 1000 kotak.




Tetapi setelah balik rumah, Cik Abang tak suka pula. Katanya kotak-kotak itu bukan personalized. Tiada keistimewaan kerana tiada bukti kotak itu adalah daripada Kedai Pink AinMaisarah. Kotak sebegitu boleh didapati di kedai-kedai cenderahati lain juga. Ketika itu Kak Ain mengakuinya. Kotak itu tiada brand jenama AinMaisarah. Hanya comel tetapi tiada nilai tambah.

Fikir punya fikir, akhirnya Cik Abang dapat idea untuk membuat kotak sendiri. Kotak edisi terhad The Wannababes. Letakkan lambang The Wannababes dan nama AinMaisarah di bawahnya. Itu akan menjadi kotak yang unik. Tidak boleh didapati di mana-mana kedai lain. Hanya boleh didapati di Kedai Pink AinMaisarah.

Kak Ain suka sangat idea tersebut. Terus kami ke Percetakan Lenang. Minta mereka mencetak kotak tersebut sebanyak 1000. Cik Abang membuat desain kotak menggunakan Photoshop tidak sampai setengah jam. Memang kami terkejar-kejar bagi memastikan kotak-kotak tersebut dapat siap sebelum Pesta Buku!

Haaa... jangan tak tahu, kotak ini perlu dilipat sendiri! Ianya adalah dua kepingan kertas keras yang berasingan. Perlu dilipat dan dibentuk menjadi kotak.




Ini rupanya apabila sudah dilipat:



Oleh kerana itu, semua petugas di Kedai Pink AinMaisarah dikerah melipat kotak ketika waktu senggang. Hehehe... ingat-ingat balik, Kak Ain betul-betul nak tergelak. Kami di Kedai Pink macam buat persiapan majlis perkahwinan yang melipat kotak hantaran! =D

Isk... isk.. iskk... banyak betul kenangan manis ketika pesta buku. Rasa sedih dan sayu pula hati Kak Ain ketika menaip entri ini. Itu belum lagi cerita kisah pasang langsir, kisah menandatangan buku hingga bengkak jari dan perkongsian cerita ibubapa tentang anak-anak mereka yang membaca buku AinMaisarah.

Banyak lagi sebenarnya yang Kak Ain nak ceritakan. Nanti Kak Ain sambung dalam Laporan Rumusan Pesta Buku: Bhg 2 ya!

Tungguuuuuuu ............... =D

Salam Sayang,
AinMaisarah

29 March 2010

Berakhirlah Pesta Buku 2010

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Semalam, 28 Mac 2010, secara rasminya tamatlah sudah 10 hari Pesta Buku Antarabangsa di PWTC. 10 hari berpenat lelah, bertungkus-lumus dan berkampung di gerai... segalanya betul-betul terbayar apabila dapat berjumpa para pembaca yang sudi bertemu Kak Ain.

Inilah gambar terakhir Kak Ain di hadapan Kedai Pink AinMaisarah.




Berposing dengan Kartunis Ubi yang bertanggungjawab melukis watak-watak tujuh The Wannababes (Kartunis Ubi berdiri di sebelah Kak Ain) Sempat juga bergambar dengan Kartunis Tembakau yang glamor dengan siri Kartini (memakai baju merah dan berdiri sebelah Cik Abang). Terima kasih Kartunis Tembakau kerana sudi singgah menjadi pengunjung terakhir gerai kami.

Sebenarnya banyak sangat kisah dan cerita menarik yang Kak Ain mahu kongsikan bersama. InsyaAllah Kak Ain akan tuliskan laporan panjang lebar tentang Kedai Pink AinMaisarah di PWTC.

Tapi malam ini Kak Ain dan Cik Abang sudah berjanji mahu merehatkan diri. Treat ourself after all the hard work. Jadi malam ini mahu makan ketam butter dan kemudian tengok wayang! Yeay! =D

Hmmm... Cik Abang kata mesti keluar rumah pukul 8.30 malam. Kak Ain curi masa sekejap masukkan entri baru ini.

Kak Ain masukkan dahulu gambar-gambar ketika mengemas gerai ya. Sedih sungguh melihat papan tanda gerai diturunkan.




Buku-buku juga mesti dikemaskan dan dimasukkan ke dalam kotak supaya senang diangkat.




Paling susah adalah membawa meja-meja dan kerusi-kerusi yang berat sekali.




Segala kerja-kerja mengemas perlu dilangsaikan dalam masa lima jam. Kami diberi masa pukul 9.00 pagi hingga 2.00 petang bagi mengosongkan gerai. Dalam pada kami mengemas, datang pula kumpulan kontraktor yang mahu mencabut segala dinding-dinding dan wayar-wayar gerai.




Inilah keadaan dewan pameran di PWTC setelah semua gerai-gerai siap mengemas barang-barang dan segala dinding pemisah sudah diturunkan.




Selepas selesai segalanya, barangan dimasukkan dalam lori. Oh! Kak Ain tiada lori jadi lori perlu disewa. Segala barangan kemudiannya dihantar ke rumah Kak Ain. Haih! Sekarang ini rumah Kak Ain memang penuh dengan segala jenis buku!

Malam ini... entah kenapa, rasa lega kerana segala urusan Pesta Buku sudah selesai ini turut bercampur-baur dengan rasa sedih yang tidak terhingga. Kak Ain terfikir-fikir sendiri, adakah tahun depan Kak Ain patut meneruskan Kedai Pink AinMaisarah ketika Pesta Buku 2011?

Memang seronok berjumpa pembaca dan mempunyai gerai sendiri ketika Pesta Buku. Tetapi bukan sedikit modal, tenaga dan masa yang perlu dilaburkan. Mujur Kak Ain ada sokongan kuat Cik Abang, Kak Izanor Sharif dan adik-beradik Cik Abang yang membantu sepanjang 10 hari.

Tahun hadapan, tahun 2011, adakah para pembaca AinMaisarah masih mahu bertemu Kak Ain di Pesta Buku? What say you?

Salam Sayang,
AinMaisarah

06 March 2010

Aku Mahu Superbibik di Pesta Buku PWTC 2010

Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Entri kali ini, Kak Ain ingin kongsikan buku terbaru yang bakal menjenguk pasaran. Buku kesinambungan siri Aku Mahu akhirnya disambung kembali.

Kak Ain harap para pembaca ingat lagi buku-buku terdahulu dalam siri Aku Mahu seperti Aku Mahu Popular, Aku Mahu Saiz S, Aku Mahu Teman Tapi Mesra, Aku Mahu Buli dan Aku Mahu ke New York 1 & 2. Kali ini Kak Ain bergabung tenaga dengan Kak Izanor Sharif untuk menghasilkan Aku Mahu Superbibik! =D

Sebaik mendapat kulit bukunya, Kak Ain terus jatuh suka. Kak Ain harap pembaca juga menyukai buku ini.



Kali ini watak utamanya Ina dan Fasha The Wannababes. Harap nukilan cerita Aku Mahu Superbibik mampu memikat hati pembaca untuk mendapatkan novel terbaru yang akan keluar betul-betul ketika Pesta Buku PWTC nanti.

Jom... jom... jom! Kita baca sedikit sedutan sinopsisnya!


“Saya mahu bibik yang pandai gubah bunga, baiki paip, fasih cakap bahasa Inggeris, boleh menjahit dan ada lesen memandu serentak!” Beritahu Ina yakin.

“Amboi, tingginya impian awak! Bibik pun manusia biasa macam kita semua. Bukannya Superman!” Farah tersentak.

“Superman?” Ina mengulang perkataan itu. “Betul cakap awak, Farah! Bibik memang manusia biasa. Tapi saya tak mahu yang biasa-biasa. Saya mahu bibik yang hebat dan luar biasa! Saya mahu seorang Superbibik!”

Itulah impian Shazarina! Memiliki seorang bibik sempurna. Demi mencapainya, dia sanggup melakukan temuramah ala-ala mencari peserta rancangan realiti TV. Hanya yang benar-benar layak akan diambil bekerja!

Demam pencarian bibik juga tersampuk kepada kumpulan The Wannababes. Tambah lagi, Shasha kini mempunyai tiga orang bibik serentak. Itu membuatkan Fasharina bt Tan Sri Hisham, ketua The Wannababes rasa tercabar. Fasha yang punya dua orang bibik bertekad menyamai kehebatan Shasha! Fasha mesti mempunyai tiga bibik juga! Itu trend terkini orang kaya-kaya!

Apakah kesudahan pencarian bibik oleh Ina dan Fasha? Ketahui kesudahannya dalam novel Aku Mahu Superbibik!


Haaa... macam mana? Okey tak cerita ini? Mesti dapatkan kerana di dalamnya ada banyak kisah-kisah lucu yang membabitkan Ina, Farah dan Fasha The Wannababes!

Buat pengetahuan semua, buku ini akan mula dijual di Kedai Pink AinMaisarah sempena Pesta Buku Antarabang PWTC pada 19 Mac - 28 Mac. Kak Ain dan Kak Izanor juga akan berada di Kedai Pink AinMaisarah setiap hari dari jam 9 pagi hingga 9 malam untuk menandatangani buku ini.

Oleh itu, Kak Ain ingin menjemput semua pembaca Rumah Pink AinMaisarah ke PWTC, carilah dewan 3 dan booth bernombor C20. Ini adalah peta di dalam dewan 3, PWTC.




Jangan lupa pujuk ibubapa, rakan-rakan sekelas untuk datang bertemu Kak Ain di Kedai Pink AinMaisarah. Inilah masanya mahu jumpa Kak Ain dan Kak Izanor! =D

Salam Sayang,
AinMaisarah