Showing posts with label Aku Mahu Buli. Show all posts
Showing posts with label Aku Mahu Buli. Show all posts

17 October 2008

4 Buku AinMaisarah Menjadi Best Seller PTS

Assalamualaikum dan salam sejahtera semua.

Semoga sihat, ceria, sejahtera dan dilindungiNya sentiasa. Itu doa Kak Ain kepada pengunjung dan pembaca yang ikhlas menyokong Kak Ain selama ini.

Hari ini Kak Ain nak berkongsi cerita buku pula. Kisah di Sabah dan Sarawak masih banyak nak dilaporkan, tapi gambar-gambarnya belum edit pula.

Oleh sebab itu Kak Ain nak berkongsi dengan semua tentang info jualan buku yang baru Kak Ain terima.

Alhamdulillah, empat daripada tujuh buku Kak Ain masuk senarai best seller syarikat penerbitan PTS Sdn. Bhd.

Nota penting:
Rekod jualan mengambil kira jualan buku selama tempoh setahun (Okt 2007 - Sept 2008)
RM yang disebut adalah setelah ditolak 35% diskaun ejen pengedar.

TOP BEST SELLER PTS


1. Travelog Haji: Mengubah Sempadan Iman - RM211,714.88

2. Quran Saintifik - RM168,020.18

3. Motivasi Alihan Pelajar - RM130,123.06

4. Minda Muslim Super - RM120,546.28

5. Tip-Tip Cemerlang daripada Quran - RM112,815.17

6. Bacakan Saya Satu Cerita - RM101,477.60

7. Salju Sakinah - RM95,849.36

8. Dato' Dr. Haron Din: Menjawab Persoalan Fiqah Harian - RM84,334.00

9. Ahmadenejad Singa Islam - RM84,178.69

10. Dear Yayah 4 - RM83,852.15

11. 99Q: Kecerdasan Berdasarkan Asmaul Husna - RM81,437.86

12. Terapi Solat Tahajud - RM77,934.24

13. Pengurusan Disiplin Murid - RM71,401.81

14. Master Your Mind Design You Destiny (Ed. Melayu) - RM67,887.52

15. Sains Pemikiran dan Etika - RM64,115.65

16. Tunnels - RM63,658.08

17. Rahsia Bisnes Orang Cina - RM62,337.18

18. Aku Mahu Saiz S - RM60,827.38


19. Khadijah: Cinta Abadi Kekasih Nabi - RM59,142.38

20. Aku Mahu Teman Tapi Mesra - RM58,156.28


21. Perubatan Islam dan Bukti sains Modern - RM57,896.78

22. Tak Bisa Memilihmu - RM57,688.35


23. 55 Petua Orang Berjaya - RM57,473.83

24. Solat Khusyuk Solat Smart - RM56,380.65

25. Aku Mahu Buli - RM56,034.38


26. Change! (ed. Melayu) - RM54,433.94

27. Rahsia Islam di China - RM53,525.61

28. 55 Silap Mata Mudah - RM53,415.44

29. Teknik Memotivasi Anak Cara Positif - RM52,032.45

30. Sarah dan Anting-anting - RM51,906.71

Buku yang tak masuk senarai adalah buku IMPIANA, IMPIANA II dan AKU MAHU POPULAR.

Kak Ain tahu sebab Aku Mahu Popular tak masuk senarai. Ini kerana ia buku paling terawal dalam karer penulisan Kak Ain. Sudah masuk lima kali ulang cetak tetapi rentak jualannya tidaklah sehebat buku baru.

Kak Ain sedikit kecewa apabila IMPIANA dan IMPIANA II tak masuk senarai. Hmm.. nak ikutkan dalam banyak-banyak buku, buku IMPIANA yang paling susah nak ditulis. Lama Kak Ain rangka plot dan jalan ceritanya. IMPIANA juga novel paling tebal yang pecah-pecah kepala nak disiapkan. Kak Ain tak tidur malam dan minum berpuluh-puluh cawan kopi demi IMPIANA dan IMPIANA II.

Hmm... ketika ini Kak Ain terasa-rasa nak melewatkan penulisan IMPIANA III. Memang tak ada semangat langsung! =( Huh!

Kemungkinan besar... selepas buku Aku Mahu ke New York I dan Aku Mahu ke New York II selamat berada di pasaran hujung tahun ini, Kak Ain nak sambung menulis buku Aku Mahu Bergaya. Selepas itu, mungkin buku Aku Mahu Jadi Romeo.

Buku IMPIANA III nak letak tepi dulu walaupun idea dan rangka cerita sudah ada. Tunggu semangat sahaja datang menjelma.

Boleh atau tidak wahai pembaca-pembaca semua?

Salam Sayang,
AinMaisarah

20 April 2008

Penghantaran Hadiah Aku Mahu Buli

Assalamualaikum,

Malam ini Kak Ain bergotong-royong dengan Cik Abang membungkus dan menulis kad-kad tahniah buat mereka yang telah memenangi peraduan Aku Mahu Buli.

Seperti yang sedia maklum, Nor Hazira telah memenangi peraduan ini. Surat Cik Adik Nor Hazira akan dimasukkan dalam buku IMPIANA III. Hadiah yang dimenangi adalah satu set minyak wangi dari The Body Shop. Baunya memang wangi. Untungnya Cik Hazira kita ni.



Tidak lupa juga hadiah juri khas yang dimenangi oleh Cik Adik Nur Amalina Farhana. Kak Ain sudah menyampaikan sendiri hadiah ini kepada Amalina kerana kebetulan berjumpa di Pesta Buku tempohari.


Kak Ain juga menyediakan 9 hadiah saguhati. Masing-masing akan mendapat 1 botol minyak wangi comel The Body Shop. Kak Ain ucapkan tahniah kepada yang adik-adik yang akan mendapat hadiah ini. Kak Ain telah menyediakan kad-kad yang cute untuk semua.


Kepada mereka yang telah menyertai pertandingan, Kak Ain ucapkan terima kasih kerana sudi bersusah payah menyertainya. Kak Ain akan simpan semua surat tersebut sebagai cenderahati dari adik-adik kepada Kak Ain. Itulah hadiah untuk Kak Ain pula.

Banyak lagi pertandingan yang akan dianjurkan pada masa hadapan. Oleh itu selalu-selalulah ke Rumah Pink Kak Ain ini.

Wasalam
AinMaisarah

12 April 2008

Surat ini akan dimasukkan ke dalam IMPIANA III

Assalamualaikum,

Surat ini akan dimasukkan ke dalam novel IMPIANA III. Mimi Monira masih lagi menyimpan dendam kepada The Wannababes walaupun sudah 10 tahun segala kisah buli-membuli itu berlaku. Mimi Monira juga tidak dapat melupakan betapa pedas berapinya sindiran The Wannababes dalam surat meminta maaf itu.

The Wannababes,
Sekolah Menengah Sri Bangsar,
Kuala Lumpur,
14 Mac 2008.

Ke hadapan saudari yang mesra dipanggil Mimi Monira Badak Air, merangkap pasangan sehati sefizikal sejiwa, Syazel si Badak Darat.

Apa khabar semenjak dibuang sekolah ini? Pastinya saudari yang comel berlemak bagaikan puding karamel di kantin Sri Bangsar, bertambah-tambah lagi lemak manisnya!
Untuk pengetahuan saudari, saya Diana, mewakili tujuh sekawan The Wannababes yang popular lagi cun melecun ingin menyusun sepuluh jari kami yang runcing ini bagi memohon maaf di atas keterlanjuran kami membuli saudari dengan lagak tentera Zionis yang kejam lagi berkuasa. Diharap saudari dapat memaafkan kami sepanjang tempoh kita bersuai kenal, seterusnya meninggalkan bibit-bibit memori manis sebagai kenang-kenangan.

Saudari,

Sepatutnya tiada lagi dendam di hati saudari. Bahkan saudari perlu berterima kasih kepada Puan Hajah Zaiton selaku Pengetua Sri Bangsar kerana telah membuang saudari dari sekolah. Lebih molek sekiranya saudari meraikannya dengan satu majlis kesyukuran kerana semenjak ketiadaan saudari, Sri Bangsar menjadi lebih aman. Hal ini dikukuhkan lagi dengan faktor: BEBAS GEMPA BUMI. Harap saudari maklum.
Di kesempatan ini, The Wannababes juga ingin melahirkan ucapan terima kasih dari sudut sanubari kami yang tulus ini di atas jasa saudari memalukan sekolah. Kami ahli The Wannababes secara tidak langsung telah dipuji dan dijadikan contoh terulung di Sri Bangsar. Pengetua telah menyentuh tentang keprihatinan dan keikhlasan hati budi kami terhadap saudari. Sebagai contoh, di mana insiden saudari jatuh menimpa saya. The Wannababes telah memberikan layanan dan urutan setaraf tukang urut profesional di Bali kepada saudari. Namun sebagai balasan, nama Sri Bangsar telah dicemari. Alangkah terkutuknya perbuatan tersebut!

Oh, ya saudari! Dalam warkah penuh keinsafan ini juga, The Wannababes dengan dukacitanya ingin memaklumkan keadaan Syazel si Badak Darat. Dia nampaknya seperti meratapi kehilangan si Badak Air peliharaan yang dulu jadi pujaan. Namun, berkat kejujuran usaha kami, The Wannababes telah menyedarkannya dari lamunan yang panjang bahawa semenjak pemergian saudari, kehidupannya sudah terlepas dari bala yang memang sah datangnya dari pihak saudari. Sesungguhnya kami hanya mengharapkan yang terbaik buat teman-teman kami.

Saudari,

Tanpa membuang masa, saya akhiri tulisan ini meskipun saya sedar saudari pasti hampa kerana terpaksa menamatkan bacaan yang indah ini. Sebelum itu, dengan berbesar hati saya coretkan pesanan The Wannababes buat saudari.

~Ingatlah, jangan biarkan pisang berbuah dua kali di sekolah lain.
Jaga tatasusila sebagai seorang perempuan.
Jadikan The Wannababes sebagai ikutan.
Kata-kata kami tiada keraguan.
Ingat ya, jagalah badan!~

Sekian sahaja. Maafkan kami Mimi Monira.

Yang Manis,
Diana The Wannababes.


Hasil karangan : Nor Hazira Binti Hanapi [Pemenang Utama Peraduan AKU MAHU BULI]

Pemenang Peraduan AKU MAHU BULI

Assalamualaikum,

Kak Ain, Cik Abang dan pihak PTSOne, ingin mengumumkan pemenang UTAMA peraduan AKU MAHU BULI iaitu Nor Hazira Binti Hanapi daripada Subang Jaya, Selangor.[irahazira_93@yahoo.com]



Kak Ain mengucapkan setinggi-tinggi TAHNIAH kepada adik Nor Hazira yang telah memenangi hadiah utama iaitu set minyak wangi daripada Body Shop.

Kak Ain ingin mengumumkan satu kejutan. Cik Abang telah sepakat untuk memberikan hadiah naib juara, kerana ada satu surat yang amat kreatif hiasannya. Markah naib juara ini sememangnya amat hampir dengan juara.

Naib Juara dimenangi oleh Cik Adik Nur Amalina Farhana Binti Sharifuddin dari Temerloh Pahang. Kak Ain akan membeli sebotol minyak wangi khas daripada The Body Shop untuk adik Nur Amalina.

Dan 9 hadiah saguhati, iaitu sebotol minyak wangi comel setiap seorang telah dimenangi oleh :

- Nurul Izzah Bt Abd Malik dari Arau Perlis.
- Nureen Azian Bt Noor Hamzah dari Lahat Perak.
- Nornajwa Amira Bt Mohamad Muziram dari Kuala Lumpur.
- Syifa' Bt Zainal Arifin dari Kajang Selangor.
- Aifa Bt Rosli dari Merlimau Melaka.
- Farah Nabila Bt Abd Razak dari Rawang Selangor.
- Foo Kah Men dari Seremban Negeri Sembilan.
- Nor Fatin Fathiah Bt Mohd Amin dari Shah Alam Selangor.
- Nur Hanis Aqilah Bt Mohd Noh dari Ampang Selangor.

Kak Ain ingin menyatakan penghargaan kepada semua yang telah menyertai peraduan ini. Kepada yang tidak menang, Kak Ain harap cuba lagi. Ada lagi peraduan AKU MAHU TEMAN TAPI MESRA dan pelbagai peraduan yang menanti di dalam novel AinMaisarah pada masa akan datang.

Tahniah sekali lagi kepada semua pemenang. Kak Ain akan menghantar hadiah-hadiah melalui POS. InshaAllah minggu hadapan.

Wasalam
AinMaisarah

11 April 2008

Surat Memohon Maaf The Wannababes.

Assalamualaikum semua,

Hari ini Kak Ain dan pihak PTSOne melalui proses memilih pemenang bagi Peraduan Aku Mahu Buli.

Kak Ain asyik ketawa sahaja apabila membaca surat memohon maaf The Wannababes yang ditulis oleh adik-adik.

Ada yang berikan tip-tip kuruskan badan kepada Mimi Monira.


Oleh Cik Adik Nureen Azian

Ada pula surat yang berwarna warni. Memang kreatif sungguh.


Oleh Cik Adik Nur Amalina Farhana

Ada yang mengarang pantun. Sakit perut Kak Ain ketawa dibuatnya.


Oleh : Cik Adik Foo Kah Men

Ada juga yang buat surat hingga jadi jin kepala toncit.


Oleh Cik Adik Aifa Rosli

Memang adik-adik semua pandai meminta maaf dalam masa yang sama terselit sindiran kelakar.


Oleh Cik Adik Nurul Izzah Abd Malik.

Tak cukup menyindir, siap beri rasuah tiket konsert lagi.


Oleh Cik Adik Nornajwa Amira

Memang kreatif dan kelakar. Kak Ain dan pihak PTSOne menghadapi kesukaran memilih pemenang. Namun seperti yang dijanjikan, kami telah berjaya memilih pemenang peraduan ini.

Kak Ain akan umumkan pemenangnya pada hari Sabtu jam 1 petang. Jeng-jeng-jeng. Tunggu..........

Wasalam
AinMaisarah

09 February 2008

AKU MAHU BELI BUKU : AKU MAHU BULI

Salam adik-adik semua!

Kepada yang mahu membeli buku AKU MAHU BULI terus daripada Kak Ain.


Kak Ain akan beri FREE, 1 buah NovelComel bertajuk The Toilet Babes. Kak Ain akan tandatangan dan chop buku tersebut.


Harga buku AKU MAHU BULI : RM16
Tambah kos pos laju : RM5
Harga semuanya RM21


Ada 2 cara bayaran :

Cara pertama, masukkan wang ke dalam account Maybank berikut :
Nombor account : 564717050374 , Syaizul Amal bin Zulkaffly

Cara kedua, Beli wang pos : RM21, tuliskan atas nama Syaizul Amal Zulkaffly
Kemudian hantarkan wang pos tersebut ke alamat ini :

AinMaisarah
Metadome Sdn Bhd,
Suite 9-1, 9th Floor,
Wisma UOA II,
21 Jalan Pinang,
50450 Kuala Lumpur

Okay, harapnya semua faham yer. Minta pertolongan ibubapa sekiranya ingin membuat pembayaran.

Siapa yang mahu beli? Sila letakkan nama dan email di bawah ini, hanya tinggal 7 buku sahaja lagi.

wasalam
AinMaisarah

Peraduan AKU MAHU BULI sila klik sini

23 January 2008

Hadiah Peraduan AKU MAHU BULI

Assalamualaikum adik-adik,

Semalam editor PTSOne telefon Kak Ain dan beritahu buku AKU MAHU BULI sudahpun siap dicetak dan masuk ke stor. Seperti kebiasaan apabila siap buku, Kak Ain sebagai penulis akan menerima 10 buku salinan untuk penulis. Sekarang hanya tinggal 8 sahaja buku yang ada pada Kak Ain kerana dua sudah dipesan oleh Adik Aini dan Adik Syafiqah.

Entri kali ini... sempena terbitnya buku ketiga Kak Ain dalam siri AKU MAHU, Kak Ain akan beritahu rahsia yang Kak Ain simpan selama ini. Kak Ain akan mendedahkan HADIAH UTAMA dan HADIAH SAGUHATI pertandingan AKU MAHU BULI. Boleh Kak Ain katakan, hadiah pertandingan kali ini paling lumayan. Ini hadiahnya :



Sesiapa pun boleh masuk pertandingan kali ini. Syaratnya, mesti beli buku AKU MAHU BULI. Didalam buku AKU MAHU BULI, ada disertakan borang penyertaan. Hanya borang penyertaan asli yang akan diterima. Fotostat-fotostat tak main ye! Ini contohnya :



Peraduan kali ini juga, adik-adik perlu menunjukkan kepada Kak Ain bakat menulis. Surat yang paling kreatif dan inovatif akan dipilih sebagai pemenang. Ada 1 hadiah utama dan 9 hadiah saguhati untuk dimenangi.

Kak Ain harap adik-adik semua jangan lepaskan peluang sertai peraduan ini ye!

Wassalam,
AinMaisarah

01 December 2007

AKU MAHU BULI ~ penghujung DIS 2007

Assalamualaikum adik-adik,

Hari ini Kak Ain ada sesuatu mahu dikongsi dengan adik-adik semua. Hanya pengunjung Rumah Pink AinMaisarah sahaja yang dapat melihat sneak preview novel terbaru Kak Ain bertajuk AKU MAHU BULI yang akan berada di pasaran DIS 2007.

Inilah kulit bukunya. Cantik tak? Memang berbeza dan nampak ganas sikit dari kulit-kulit buku sebelumnya yang asyik-asyik warna merah jambu.


Ini pula salah satu ilustrasi dalam buku tersebut.



Dalam gambar di atas adalah enam gadis ahli kumpulan The Wannababes. Mmh...mana lagi seorang? Mana Diana? Yang terlantar atas katil itu pula Mimi Monira. Sesiapa yang sudah baca IMPIANA, mesti dapatkan AKU MAHU BULI. Barulah tahu kisah asal-usul Mimi Monira. Siapa yang sebenarnya dibuli? Kenapa pembulian itu berlaku? Adik-adik nak tahu jawapannya... mesti dapatkan AKU MAHU BULI!

Gambar di bawah ini juga salah satu insiden yang berlaku. Gadis berambut kerinting yang interframe di sisi adalah Sazzy. Yang ketawa terbahak-bahak tak ingat dunia itu pula si kacak Fahrin.


Itulah antara ilustrasi yang bakal diselitkan dalam buku terbaru Kak Ain. Kak Ain juga sudah bersiap-sedia membeli hadiah peraduan AKU MAHU BULI. Hadiahnya akan kekal misteri sehinggalah buku itu berada di pasaran hujung Disember 2007 nanti. Tetapi untuk adik-adik pengunjung setia Rumah Pink AinMaisarah, Kak Ain beri klue sedikit tentang hadiah yang menunggu adik-adik.


Setakat ini dahulu,
Salam Sayang,
AinMaisarah

31 October 2007

AKU MAHU BULI - Disember 2007

Assalamualaikum semua...

Apa khabar adik-adik? Masih beraya lagi? Masih berusaha hingga ke titisan darah terakhir nak mengumpul duit raya? Kak Ain dah berhenti surrender makan kuih raya, lemang raya dan semua yang berkaitan dengan raya. Sekarang sudah fokus semula nak menulis...menulis...dan menulis. Manuskrip AKU MAHU BULI sudah selamat Kak Ain hantar kepada editor PTSOne yang amat memahami lagi baik hati (kena puja-puji sikit sebab Kak Ain sebenarnya terhantar lambat!)

InsyaAllah mengikut perancangan, AKU MAHU BULI akan terbit bulan Disember 2007. Buku ini bakal jadi penutup kepada tirai buku-buku AinMaisarah tahun 2007. Tahun 2008 akan menyaksikan lebih banyak lagi buku-buku yang sudah ada idea asasnya dalam kepala Kak Ain. Sekarang Kak Ain sedang menulis AKU MAHU TEMAN TAPI MESRA & IMPIANA 2. Doakan Kak Ain dapat menyiapkannya selaju mungkin.

Kepada yang sudah membeli IMPIANA terus dari Kak Ain, pasti sudah tahu apa yang terjadi kepada The Wannababes & Fahrin 10 tahun akan datang. Sambungan cerita IMPIANA adalah cerita AKU MAHU BULI. Jadi sesiapa yang sudah baca IMPIANA...mesti baca AKU MAHU BULI.

Oleh kerana Kak Ain tak beri adik-adik duit raya, Kak Ain nak beri adik-adik cerita percuma raya. Ini sedikit sedutan cerita AKU MAHU BULI. Harapnya bila buku sebenar sudah berada di pasaran...adik-adik jangan lupa dapatkan.

Ikuti sedikit sedutan daripada novel Aku Mahu Buli :

Dua ahli The Wannababes itu berjalan melintasi Mimi Monira. Sebaik sahaja menyedari Mimi Monira duduk di bangku yang tidak bermeja di bahagian belakang kantin, langkah Fazura dan Linda terhenti seketika.

Fazura dan Linda sama-sama berpadu tenaga menjeling Mimi Monira. Namun tiada sebarang kata nista yang dilempar. Hanya sesi menjeling selama tempoh 5 saat. Mimi Monira menyedari itu semua tetapi mengambil langkah selamat dengan merenung mi di dalam pinggan. Dia tidak mahu mencari masalah dengan dua ahli The Wannababes itu.

“Budak baru di tepi longkang, tak ada kawan yang nak pandang.” Fazura tiba-tiba bijak berpantun.

Linda ketawa sambil mengangguk-angguk setuju dengan kata-kata Fazura itu. “Saya tak sangka, awak bijak juga berpantun.”

Fazura tersengih. “Tengok kakilah! Saya pernah jadi juara pantun ketika di sekolah tadika dahulu.”

Linda mengangkat-angkat kening sambil mengenyit mata. Seketika Linda mendekati Fazura seraya berbisik. “Seronok juga jika kita kenakan budak ni.”

Fazura dan Linda sudah mencapai kata sepakat. Mereka bakal berpadu kuasa kejahatan mahu membuli Mimi Monira.

“Saya pun nak tunjuk kebolehan saya berpantun. Awak dengar ya! Budak baru di tepi longkang, makan banyak sampai terkangkang!”

Berderai ketawa dua pelajar itu sekali lagi. Fazura bertepuk tangan mendengar pantun zalim rakan baiknya Linda sambil berkata. “Wow! That is the best! Tapi saya tetap tak mahu kalah. Saya cuba balas pantun awak dengan pantun yang lebih hebat lagi!”

“Cubalah kalau boleh,” Linda seakan mencabar.

Fazura termenung seketika mencari-cari bait perkataan yang sesuai. “Hah! Saya dah dapat....awak dengarkan pantun dari saya pula. Budak baru mencari fasal, mesti sekarang dia menyesal!”

Linda dan Fazura bertepuk tangan syok sendiri. Kononnya hebat sangatlah kebolehan mereka berdua berpantun secara spontan! Memang kejam lagi zalim sungguh!

Mimi Monira pula tidak membalas. Telinganya makin lama makin merah. Sedikit masa lagi pasti berasap menahan asakan sindiran yang keterlaluan itu.

“Saya ada satu lagi pantun yang sesuai. Saya harap telinga budak baru tu tak melecur dengar pantun sadis daripada saya.” Linda tersenyum simpul. Sinar kejahatan jelas terpancar pada matanya.

“Just shoot! Saya nak dengar!” Fazura tak sabar-sabar mahu mengetahui pantul Linda yang seterusnya.

Linda dengan gaya-gaya seorang pemantun terhebat memulakan aksinya. “Budak baru tak ada otak, pinggang lurus macam kotak!”

Dua The Wannababes itu ketawa besar lagi. Mereka seronok dan besar kepala membuli seorang pelajar baru. Tiada siapa yang menghalang dan melarang!

Mimi Monira tunduk setunduknya memandang mi goreng yang berbaki. Matanya sudah berkaca. Hatinya betul-betul pedih dan kecut mendengar kata-kata nista itu semua. Tanpa dapat ditahan, airmata Mimi Monira mula menitik mengenai mi goreng dalam pinggan. Seboleh mungkin Mimi Monira mahu menyembunyikan airmata kekalahan itu.

Linda dan Fazura masih tergelak besar. Mereka baru sahaja berura-ura mahu menyambung sesi pantun zalim. Mereka merancang mahu berbalas pantun empat kerat pula. Biar lebih pedih...biar lebih ganas! Namun terdengar jeritan Diana yang membantutkan perancangan.

“Girls! Cepatlah! Latihan kita tak selesai lagi ni!” Diana sebagai ketua pasukan sorak sudahpun memberi peringatan.

Linda dan Fazura memandang ke arah Diana di padang. Dengan kuat Linda menjerit membalas. “Kami nak pergi tandas!”

Diana menjerit membalas. “Cepat sikit. Cikgu Ros nak datang tengok kita berlatih sekejap lagi.

Linda dan Fazura terpaksa memberhentikan sesi pantun dengan brek kecemasan. Cikgu Ros iaitu guru penasihat kumpulan sorak sekolah akan datang memantau sesi latihan. Mereka berdua harus kembali semula ke padang secepat mungkin.

“Jomlah! Nanti Cikgu Ros datang, bahaya kita,” Linda kelihatan bimbang. Cikgu Ros memang tegas orangnya. Jika dilihat ada ahli kumpulan sorak yang main-main dan tidak memberi komitmen sepenuhnya, dia tidak teragak-agak mahu membuang ahli tersebut.

“Tak payahlah pergi tandas. Kita pun bukannya nak buat apa. Cuma nak betulkan-betulkan rambut. Jom kita balik ke padang.” Fazura sudah menarik tangan Linda.

Dua sahabat itu bergegas pergi. Akhirnya aman juga telinga Mimi Monira daripada diasak dengan pelbagai macam kata hina dan nista. Barulah berani Mimi Monira mengangkat muka. Dia memandang langkah dua The Wannababes yang semakin menjauh. Airmatanya masih bertakung. Sakit hatinya masih terasa.......


Jangan lupa dapatkan buku AKU MAHU BULI....bulan Disember 2007!

Wassalam,
AinMaisarah