Assalamualaikum dan salam sejahtera,
Sebenarnya Kak Ain penat dan letih sangat. Sudah lima hari berkampung di PWTC. Tahun ini buat pertama kalinya, Kak Ain ada gerai sendiri di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur. Dicelah-celah semua penerbit buku dan penjual buku, AinMaisarah menjadi penulis novel yang membuka gerai sendiri.
Bermula 19 Mac 2010 sehinggalah 28 Mac 2010, Kak Ain akan setia menunggu kehadiran pembaca di PWTC. Walaupun letih terus-terusan berada di PWTC selama 5 hari lepas, Kak Ain masih mampu tersenyum gembira.
Melayani para pembaca, berbual mesra, memasukkan sendiri buku yang dibeli ke dalam plastik... adalah sesuatu yang sangat 'satisfying' dan 'rewarding'. Tak dapat Kak Ain gambarkan perasaan ini!
Bercerita mengenai Kedai Pink AinMaisarah, Kak Ain menyewa dua buah gerai. Gerai itu dihias dengan warna padanan putih dan pink. Buat pengetahuan, semua langsir putih dan pink, Kak Ain gantung sendiri! Huh! Memang terasa macam nak menyambut hari raya di PWTC!
Kedai Kak Ain juga dinobatkan sebagai gerai paling pink di Pesta Buku! Ini sedikit gambar sneak preview, rupa Kedai Pink AinMaisarah di PWTC.
Mahu lihat rupa keseluruhan gerai? Mestilah datang PWTC sendiri! ;D
Selain hiasan gerai berwarna pink, Kak Ain juga menyediakan hadiah-hadiah comel berwarna pink juga. Seahorse pink memang menjadi kegilaan semua kerana kecomelannya yang berada pada tahap maksima. Ramai benar pengunjung lalu-lalang yang mahu membeli seahorse tersebut. Tetapi Kak Ain memang tidak menjualnya. Ianya diberikan secara percuma kepada pembeli bertuah yang resit pembeliannya terpilih. Setakat ini, Kak Ain sudah membebaskan enam ekor seahorse kepada pemilik baru. Moga-moga semua seahorse dijaga dengan baik! Jangan buli-buli seahorse itu ya!
Selain seahorse, ada 10 ekor teddybear Jepun yang menanti untuk dimenangi. Setakat ini, sudah ada dua orang pemenang yang berjaya membawa teddybear kepala besar ini pulang. Sedih juga Kak Ain mahu berpisah dengan teddybear kerana sebelum ini semua teddybear tidur dengan Kak Ain. Huhuhu =(
Apalagi yang menarik? Di Kedai Pink AinMaisarah kali ini, Kak Ain memperkenalkan barisan merchandise barangan The Wannababes. Ada profail The Wannababes. Keychain dan button badge The Wannababes. Ada juga semua koleksi lengkap novelcomel.
Paling-paling ditunggu semua tentulah... IMPIANA III. Ya! Impiana III edisi manuskrip asal boleh didapati secara eksklusif di Gerai Pink AinMaisarah. Tetapi hanya ada 500 manuskrip sahaja. 500 pembaca yang menerima manuskrip ini juga mestilah membantu Kak Ain dengan memberitahu perasaan sebenar mereka apabila membaca manuskrip terakhir siri IMPIANA itu. Sekarang Kak Ain sedang berdebar-debar menunggu dan mengumpul respons para pembaca mengenai IMPIANA III.
Setiap pembelian RM50 ke atas juga akan menerima kotak eksklusif lagi elegan berwarna hitam ini. Kak Ain hanya tempah 1000 kotak. Hampir separuh sudah habis. Jadi jika mahu memilikinya, datang cepat-cepat Gerai Pink AinMaisarah!
Inilah gambar kotak hitam yang cantik itu. Amirah dan Afiqah, dua pembaca AinMaisarah berbelanja lebih RM100 nampaknya di Kedai Pink AinMaisarah kerana mereka mendapat dua kotak hitam tersebut!
Selain itu, tentulah ketika Pesta Buku ini... Kak Ain akan memenuhi permintaan menandatangan buku-buku para pembaca. Jangan tak tahu, sejak 5 hari lepas... jari-jemari Kak Ain boleh kurus dibuatnya kerana sudah menandatangan beratus-ratus buah buku!
Mujur ada
Kak Izanor Sharif. Kak Izanor, penulis bersama AinMaisarah untuk novel Aku Mahu Superbibik turut turun padang. Sama-sama lenguh jari-jemari menandatangan buku pertamanya bersama Kak Ain. Jadi para pembaca juga boleh berjumpa dan berkenalan dengan Kak Izanor Sharif.
Paling menyeronokkan, kita boleh bergambar kenang-kenangan seperti ini:
dan begini:
Pendek kata, bergambar dengan bermacam-macam jenis gaya posing pun tak mengapa. Kak Ain sanggup untuk pembaca semua! =D
Sememangnya setiap gambar bersama pembaca membuatkan Kak Ain berasa amat bersyukur memilih kerjaya penulisan sebagai laluan hidup AinMaisarah. Kak Ain rasa sangat-sangat disayangi. Kak Ain rasa sangat-sangat dihargai. Terima kasih kepada semua pembaca AinMaisarah yang sudah datang memberi sokongan dan berkenalan dengan Kak Ain.
Kalau boleh, Kak Ain mahu bertentang mata dengan RAMAAAAAAAAAAAAAAAAAAAAI lagi pembaca buku AinMaisarah. Kak Ain mahu dengar komen semua. Kak Ain mahu mendekati semua pembaca dengan lebih mesra. Oleh itu, datanglah ke PWTC. Ada 5 hari lagi Kak Ain akan terus berkampung di sini.
Jika mahu datang, catitlah info tentang Gerai Pink AinMaisarah. Nanti jika tidak jumpa atau sesat, bolehlah bertanya kepada pengawalselia yang bertugas di Pesta Buku.
Gerai C20
Dewan Tiga
Tingkat 1
Berhadapan SASBADI
Selepas ini, jika mahu berjumpa AinMaisarah... hanyalah di sekolah-sekolah yang terpilih dalam Program Jelajah Sekolah AinMaisarah. Sebelum ini ramai marahkan Kak Ain kerana memilih sekolah tertentu sahaja. Sekarang ini, semua orang boleh jumpa Kak Ain. Kak Ain memang ada di Kedai Pink AinMaisarah di PWTC selama 5 hari lagi.
Okeylah, dalam penat-penat... panjang juga jadinya bila AinMaisarah mula menaip.
Kak Ain harap sangat dapat bertemu dengan ramai lagi pembaca. Kak Ain tunggu di PWTC ya!
Salam Sayang,
AinMaisarah