Hari ini Kak Ain nak kongsikan bersama ulasan buku yang dibuat oleh blogger terkenal Carrie Kirana.
Haaa... kalau nak tahu, Kak Carrie ini memang tersohor sebagai pengulas buku yang dikenali di kalangan para novelis Malaysia. Dengar khabar, ulasan dan rating bintang yang diberikan oleh Kak Carrie juga sangat berpengaruh. Mampu meningkatkan atau merudumkan jualan sesebuah novel yang berada di pasaran! Wah! Memang hebat!
Jadi apabila Kak Ain bertemu dengan Kak Carrie di Pesta Buku PWTC pada hari Selasa lalu, Kak Ain terkejut apabila diberitahu buku nukilan Kak Ain turut diulas di dalam blog beliau.
Terus dada Kak Ain jadi berdebar-debar! Tak sabar nak balik rumah. Tak sabar nak buka komputer. Tentunya mahu memeriksa ulasan Kak Carrie terhadap novel Kak Ain. Kak Ain jadi ketakutan. Terasa macam seorang guru pemeriksa sudah memberi markah terhadap karangan Kak Ain!
Akhirnya... apabila sudah membaca ulasan tersebut, Kak Ain menarik nafas lega. Alhamdulillah, buku pertama nukilan AinMaisarah lulus periksa. Terima kasih Carrie Kirana!
Dalam buku pertama siri "Aku Mahu" - Aku Mahu Popular ini, Farah dan Ina adalah gadis "wallflower" di Sekolah Menengah Sri Bangsar yang mahu mengikut trend semasa supaya mereka diminati ramai seperti ahli The Wannababes. Plot yang santai dan gaya penulisan yang mantap ini tidak hairanlah menarik ramai remaja untuk memilik siri "Aku Mahu" Ain Maisarah,
Siri "Aku Mahu" tulisan penulis "teen" novel PTS yang dikenali, Ain Maisarah sebenarnya sudah lama berada di pasaran. Setakat ini, promosi novel-novel Ain Maisarah untuk Pesta Buku Antarabangsa kali ini yang saya kira paling menarik hati saya. Dekat di hati golongan peminat setianya, Ain Maisarah mencipta ikon pop "teen" melalui watak-watak yang digarap dalam Sekolah Menengah Sri Bangsar, Kuala Lumpur ala-ala versi Sweet Valley High.
Kewujudan kelab peminat Ain Maisarah, laman web interaktif, promosi-promosi menarik adalah inisiatif-inisiatif yang diusahakan untuk menjana permintaan terhadap novel-novel "Aku Mahu" dan ini patut dicontohi oleh penulis-penulis yang mahukan angka jualan bukunya meningkat. Dibantu oleh pengurusnya iaitu suami Ain Maisarah ini, pelbagai aktiviti dan acara semasa diatur untuk menarik lebih ramai peminat Ain Maisarah mengikuti perkembangan penulis kesayangan mereka.
Itulah ulasan Kak Carrie Kirana. Haaa.... sekarang Kak Ain ingin tahu ulasan para pembaca sendiri pula.
Entri kali ini Kak Ain nak beri homework kepada para pengunjung semua. Sila taipkan ulasan anda tentang novel pertama AinMaisarah bertajuk Aku Mahu Popular di bahagian komen.
Selamat mengulas!
Salam Sayang,
AinMaisarah
p/s: Tiba-tiba terasa nostalgia memagut hati. Teringat lagi dua tahun yang lalu. Buku Aku Mahu Popular ini merupakan buku pertama Kak Ain. Buku yang mengambil masa paling lama untuk dihasilkan. Selama empat bulan Kak Ain tonggang-terbalik menderita menulisnya. Alhamdulillah, sehingga hari ini jualan buku Aku Mahu Popular masih memberansangkan. Sudah masuk cetakan kelima. Terima kasih kepada semua pembaca yang sudah memilikinya.





