26 November 2009

Inilah Hadiah 'Peraduan Baca & Menang PTS' Minggu Pertama

Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Huh! Rumah pink sudah berhabuk kerana tuan empunya sibuk di Facebook!

Walau apapun, entri kali ini adalah entri yang wajib dibaca kerana ada sesuatu yang SANGAT PENTING mahu Kak Ain kongsikan bersama semua pembaca. Kak Ain sudah war-warkan sebelum ini... tetapi Kak Ain mahu hebah-hebahkan sekali lagi.

Jangan ada yang terlepas. Jangan ada yang ketinggalan.

Kak Ain mahu tunjukkan kepada para pembaca semua hadiah-hadiah lumayan yang mungkin dimiliki sekiranya memasuki 'Peraduan Baca & Menang PTS'

Dengan ini Kak Ain mempersembahkan, hadiah minggu pertama......



WAAAAAA..... HEBATNYA!

Mari kita zoom supaya nampak lebih dekat lagi. Biar nampak terang dan jelas segala jenis barangan elektronik yang menjadi idaman semua!




Tengok tu. Ada PS2. Ada kamera LUMIX. Ada telefon bimbit NOKIA. Ada macam-macam lagi! Kak Ain difahamkan, untuk hadiah pemenang mingguan pertama ini, kesemuanya ada 18 hadiah mewah yang menanti iaitu:

  • iPod Touch 8GB - 1 unit
  • iPod Nano 8GB (model baru) - 2 unit
  • PSP2000 - 1 unit
  • PS2 - 2 unit
  • Nintendo Wii - 1 unit
  • Nintendo DS - 2 unit
  • Kamera kompak Panasonic Lumix FS6 - 2 unit
  • Kamera kompak Panasonic Lumix TZ11 - 1 unit
  • Telefon Nokia 5130c Xpress Music - 2 unit
  • Telefon Nokia 5800d Xpress Music - 1 unit
  • Telefon Sony Ericsson W205 - 2 unit
  • Acer Netbook Aspire One D250 - 1 unit

Isk.. Isk... Isk! Bahagia sungguh sekiranya dapat memiliki hadiah-hadiah tersebut, kan?

Ini baru hadiah-hadiah untuk pemenang minggu pertama! Peraduan PTS ini berlangsung selama enam minggu. Selain hadiah mingguan, ada juga hadiah utama yang lebih-lebih lagi lumayannya!

Di sini Kak Ain kongsikan bersama jadual pertandingan dan tarikh-tarikh pemilihan pemenang buat rujukan semua. Jangan sampai terlepas masa dan tarikhnya!



Memang ada peluang dan masa lagi untuk menyertai peraduan PTS ini. Jadi apalagi.... jangan bertangguh. Beli buku PTS bernilai RM25 dalam satu resit dan isikan borang peraduan. Sebelum menghantar borang, doa dan tiup-tiup sedikit supaya mudah-mudahan boleh terpilih jadi pemenang! =D

Nak tahu maklumat lanjut, klik sahaja www.pts.com.my ya!

Kak Ain sudah sertainya (nak sangat menang IPOD NANO!) ... Anda bila lagi???

Salam Sayang,
AinMaisarah


16 November 2009

Kedai Pink AinMaisarah Masib Belum Di Buka

Assalamualaikum,

Ini adalah satu pengumuman penting. Pihak pengurusan AinMaisarah masih menerima beberapa tempahan buku daripada para pembaca blog.

Oleh itu kepada semua pembaca yang telah membuat pembayaran, sila baca pengumuman ini dan sampaikan kepada ibubapa.

Kedai Pink AinMaisarah telah ditutup pada bulan Julai 2009, pengumumannya telah dilakukan di sini. Bermula dari tarikh itu pihak pengurusan telah mengalihkan segala banner yang berkaitan dengan Kedai Pink AinMaisarah.


Kedai Pink AinMaisarah masih ditutup kerana 3 sebab utama ;

1) memberi ruang kepada AinMaisarah untuk menulis 2 buah buku untuk bulan disember dan 3 buah buku yang bakal dilancarkan di Pesta Buku Antarabangsa PWTC 2010.

2) memenuhi jemputan Program Jelalah Sekolah AinMaisarah.

3) kehabisan novelcomel yang masih belum siap dicetak.

Pembukaan kedai akan diumumkan selepas pada bulan hadapan bersempena pelancaran buku BSB-Perang Rumah Sukan.

Buat masa ini, kami ingin memohon jasa baik para pembaca yang telah membuat pembayaran untuk bersabar sehingga bulan Disember 2009. Jika anda mahu dipulangkan wang anda, sila emelkan kepada syaizul@meta-dome.com, nyatakan jumlah bayaran yang telah dibuat, bila bayaran telah dibuat dan sertakan nombor bank akaun. Kami akan masukkan wang itu ke dalam akaun bank anda secara online.

Kepada yang sanggup bersabar hingga bulan Disember, kami akan berikan sedikit hadiah cenderahati bersama pembelian anda, sebagai tanda mohon maaf atas kelewatan membuat penghantaran.

Terima kasih.
Pengurusan AinMaisarah

13 November 2009

AinMaisarah & Sekolah Sri Bangsar di FaceBook

Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Selamat hujung minggu semua!

Kak Ain doakan semoga sihat dan masih bersemangat di penghujung tahun 2009 ini. Kak Ain sendiri sedang sibuk dengan pelan rancangan menghadapi 2010. InsyaAllah, tahun 2010 ini merupakan tahun paling aktif AinMaisarah dalam bidang penulisan kerana road tour Jelajah Sekolah AinMaisarah akan berlangsung secara berterusan dari bulan Januari hingga Jun 2010.

Kak Ain juga sudah selesai mengedit dua buku bertajuk Projek Fesyen AinMaisarah dan Projek Diet AinMaisarah. InsyaAllah kedua-duanya akan keluar serentak di kedai-kedai buku seluruh Malaysia, bulan Disember 2009 ini.

Sementara menanti buku-buku terbaru Kak Ain terbit di pasaran, apakata sertai AinMaisarah





...dan Sekolah Sri Bangsar




di laman web Facebook. Klik sahaja dua ikon di atas ya! Kita jumpa di sana! =D

Salam Hujung Minggu,
AinMaisarah

01 November 2009

Peraduan SAYA MAHU HADIAH PTS Bermula 1 November 2009!

Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Entri kali ini, Kak Ain nak kongsikan dengan para pembaca semua tentang peraduan hebat yang dilancarkan oleh penerbit PTS. Kepada para remaja di luar sana yang memang sukakan buku-buku PTS One, rebutlah peluang ini. Beli buku berharga RM25 dan berpeluang memenangi hadiah-hadiah bernilai lebih RM70,000!

Nak tengok hadiahnya? Semuanya memang best, best, best! Mari Kak Ain tunjukkan!


Hadiah Utama:


Ah! Meleleh air liur Kak Ain melihat TV LG Plasma 42" itu yang memang jadi idaman kalbu! Selain dapat TV, pemenang utama juga dapat buku-buku PTS bernilai RM10,000! Memang lumayan! Bayangkan betapa seronoknya dapat memiliki beratus-ratus buku PTS One secara percuma! Judul-judul yang disukai juga akan dipilih sendiri oleh pemenang.

Nak buku siri Aku Mahu nukilan AinMaisarah?
Nak buku siri Dear Yayah karangan Farihah Iskandar?
Nak buku Mengapa Aku Jadi Pengetua hasil tulisan Kusyi Hirdan?
Nak buku My Angel tulisan Aizam Aiman?
Nak buku siri Sarah oleh Ezee Rahmani?
Nak baca siri Melah Melia karangan Ainin Naufal?
Atau nak buku Dunia Sains Aiman?

Pilih saja yang mana suka! Semuanya boleh dipilih sendiri hingga bernilai RM10,000! Hebat, kan?

Buku-buku tersebut boleh jadikan koleksi. Boleh jadikan perpustakaan mini di rumah sendiri. Macam syurga buku jadinya rumah itu nanti!


Hadiah Pertama:



Pemenang tempat pertama pula akan menerima kamera video SONY yang canggih sekali! Lepas itu bolehlah jadi paparazzi dan mamarazzi! =D Buku-buku PTS bernilai RM8000 juga akan jadi milik pemenang. Dengan nilaian RM8000 itu, boleh dapat 500 buah buku AinMaisarah tau! Banyak tu!


Hadiah Kedua:



Hadiah kedua juga tidak kurang hebatnya. Mesti ramai nak memiliki laptop ACER ini. Kak Ain sendiri ingat lagi, dulu-dulu hanya memiliki laptop pertama ketika berusia 23 tahun. Sekarang ini PTS ada buat pertandingan yang menawarkan laptop, jadi jangan ketinggalanlah menyertainya! Tambah lumayan, pemenang tempat kedua juga dapat buku-buku PTS bernilai RM5000!


Hadiah Mingguan


Kita tengok pula hadiah pemenang mingguan. Bila tengok hadiah-hadiah yang ditawarkan, memang Kak Ain pun terasa nak sangat masuk peraduan yang dibuat oleh PTS ini. Kak Ain nak sangat iPod Nano dan iPod Touch tuuuuu =D Ah! Mewahnya!

Lihatlah betapa banyaknya hadiah-hadiah lumayan untuk pemenang mingguan:


(a) Minggu Pertama

1. iPod Touch 8GB + Buku PTS bernilai RM100
2. Nokia 5130 XpressMusic + Buku PTS bernilai RM100
3. Nintendo DS + Buku PTS bernilai RM100

(b) Minggu Kedua

1. PSP + Buku PTS bernilai RM100
2. SonyEricsson W205 + Buku PTS bernilai RM100
3. Kamera Digital Canon Powershot A480 + Buku PTS bernilai RM100

(c) Minggu Ketiga

1. Acer Netbook Aspire One D250 + Buku PTS bernilai RM100
2. iPod Nano 8GB + Buku PTS bernilai RM100
3. PS2 + Buku PTS bernilai RM100

(d) Minggu Keempat

1. Nintendo Wii + Buku PTS bernilai RM100
2. Nokia 5130 XpressMusic + Buku PTS bernilai RM100
3. Kamera Digital Canon Powershot A480 + Buku PTS bernilai RM100

(e) Minggu Kelima

1. Nokia 5880 ExpressMusic + Buku PTS bernilai RM100
2. PS2 + Buku PTS bernilai RM100
3. iPod Nano 8GB + Buku PTS bernilai RM100

(f) Minggu Keenam

1. Kamera Digital Canon Powershot A2100 IS + Buku PTS bernilai RM100
2. SonyEricsson W205 + Buku PTS bernilai RM100
3. Nintendo DS + Buku PTS bernilai RM100


Haaa... macam mana? Teruja melihat senarai hadiah yang macam-macam? Teringin nak memilikinya? Mulai hari ini, mestilah beli buku PTS banyak-banyak dan simpan resitnya untuk masuk peraduan ya! Satu resit bernilai RM25 boleh dikepilkan dengan satu borang peraduan yang rupanya begini:




Borang peraduan ini dengan mudah sahaja boleh didapati apabila membeli buku di kedai-kedai terkemuka MPH dan Popular. Atau boleh download dan klik borang di sini.

Ikutilah langkah-langkah mudah ini untuk memenangi hadiah-hadiah yang Kak Ain sebutkan.

-- Beli buku PTS bernilai RM25 dalam satu resit
-- Isi borang dengan jawapan yang betul dan kepilkan resit
-- Hantar borang ke dalam kotak peraduan @ poskan ke alamat yang tertera.

Mudah bukan? Jadi rebutlah peluang keemasan ini. Mesti masuk peraduan SAYA MAHU HADIAH PTS yang bermula pada 1 November 2009!

Untuk maklumat lanjut, boleh klik di laman PTS ini.

Jom kita masuk peraduan ini ramai-ramai!

Salam Sayang,
AinMaisarah

30 October 2009

Sesi Fotografi Projek Fesyen & Projek Diet AinMaisarah

Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Selamat hujung minggu! Harapnya semua pengunjung Rumah Pink AinMaisarah berada dalam kesihatan yang baik dan ceria-ceria sentiasa.

Kak Ain sendiri sedang menjalani proses penggambaran buku Projek Fesyen AinMaisarah dan Projek Diet AinMaisarah.

Sesi fotografi dibuat pada hari Rabu dan Jumaat. Ada banyak tempat yang dijelajahi. Ada pelbagai aksi yang dirakamkan. Haaa... nak lihat gambar AinMaisarah berfesyen? Nak tengok cara-cara AinMaisarah berdiet kuruskan badan? Mesti dapatkan buku terbaru PROJEK FESYEN AINMAISARAH dan PROJEK DIET AINMAISARAH yang akan keluar bulan Disember 2009!

Kak Ain sebenarnya perlu ucapkan terima kasih kepada editor PTS Millennia iaitu Cik Ashikin Wahid yang sudi mengikut ke hulu ke hilir dengan setia. Jutaan penghargaan juga buat Puan Mazniza Mohd Nor, jurufoto bertugas kerana rela melayan kerenah AinMaisarah yang mahu lihat gambar yang dirakamkan setiap 2 minit sekali.


Kepada Kak Lily Haslina Nasir dan Kak Rose Harissa, sesungguhnya AinMaisarah seronok sangat dapat menjalinkan kerjasama dengan dua penulis terkenal tapi sporting tak terkira!


Harapnya buku konsep baru ini akan dapat diterima pembaca AinMaisarah. Semoga buku ini berjaya! Amin =D

Salam Sayang,
AinMaisarah

29 October 2009

Berita Gembira Pengubat Hati

Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Hari ini Kak Ain akhirnya dapat juga masukkan entri baru. Setelah lama sangat senyap sunyi Rumah Pink ini. Sebenarnya Kak Ain beberapa kali ada masalah kesihatan. Demam sampai seminggu. Keracunan makanan sampai 5 hari. Apa yang dimakan, semua muntah kembali.

Aduhai! Cubaan sungguh! Dalam pada Kak Ain ada banyak kerja-kerja penulisan yang tertangguh, Kak Ain anggap ini cubaan. Menulis dan memeriksa manuskrip dengan menyapu minyak Yu Yee cap limau pada perut yang kembung semacam.


Alhamdulillah, keadaan sudah pulih kembali. Kak Ain sudah sihat 100% dan bertambah bersemangat apabila baru sahaja mendapat berita gembira. Berita gembira ini adalah tentang buku Kak Ain yang dipilih untuk pembelian 2009 Kementerian Pelajaran Malaysia.

Buku yang terpilih adalah buku bertajuk Aku Mahu Saiz S:




Memang Kak Ain bersyukur apabila buku ini terpilih. Ini kerana buku ini sudah dua tahun umurnya sejak diterbitkan PTS One, sudah lima kali diulangcetak dan jualannya masih laju di pasaran.

Harapnya buku ini terus evergreen dan dibeli orang walau sepuluh tahun lagi. Kak Ain teringin nak jadi macam Enid Blyton (penulis siri The Famous Five) dan Francine Pascal (penulis siri Sweet Valley) yang seumur hidup menyara kehidupan dengan duit royalti penulisan buku semata-mata. Harapnya impian Kak Ain tercapailah hendaknya!

Salam Sayang,
AinMaisarah
p/s: Siapa sudah memiliki buku ini, sila angkat tangan!


17 October 2009

Gambar-Gambar Rumah Terbuka PTS 2009

Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Seperti dijanjikan, entri kali ini Kak Ain masukkan gambar-gambar keluarga penerbitan PTS yang sempat dirakam lensa kamera pada hari Khamis lepas. Alhamdulillah, seronok dan meriah sungguh Rumah Terbuka PTS tahun ini.


Kak Ain datang bersama Cik Abang dan Ira Hazira. Ira Hazira adalah salah seorang pembaca buku AinMaisarah yang menerima jemputan ke rumah terbuka PTS juga. Ini kerana Ira Hazira pernah menulis cerpen untuk Remaja@PTS 2008.

Kak Ain sampai pukul 12.30 tengahari dan ketika itu meja-meja sudah penuh sesak dengan pengunjung. Kelibat Puan Ainon, pemilik penerbitan PTS berada betul-betul di pintu hadapan. Tak letih-letih menyambut tetamu. Puan Ainon siap pakai bunga yang disematkan di tudung! Betul-betul macam mak pengantin! =D



Ini pula wajah Tuan Arief Hakim, Pengarah Urusan PTS Sdn Bhd. Nampak serius berbincang!


Sebaik sahaja sampai, semua pengunjung perlu merekodkan kehadiran di meja pendaftaran.


Selepas mendaftar, bolehlah lajukan langkah dan majukan diri menuju ke arah deretan makanan yang dihidangkan di bahagian khemah.


Apabila bercerita tentang rumah terbuka, tentu tak sah sekiranya tak memaparkan jenis-jenis makanan yang dihidangkan di Rumah Terbuka PTS. Tahun ini, hidangannya adalah:

~Lemang dan nasi himpit yang Kak Ain tak sempat nak rasa =( Sibuk sangat berbual... Kak Ain hanya makan nasi beryani dan sate sahaja~


~Ada sate yang sedap sekali! Thumbs up kepada pakcik-pakcik sate!~


~Ada kambing golek yang tak sempat nak dirasa juga! Lihat! Tinggal sedikit sahaja. Memang popular hidangan kambing golek ini di mana-mana pun rumah terbuka~


~Inilah meja yang menghidangkan pelbagai jenis mi yang Kak Ain lupa nak kunjungi =(~


Mesti ramai yang tertanya-tanya. Mengapa Kak Ain tak sempat merasa semua makanan yang lazat-lazat tu? Ini kerana sebaik sahaja Kak Ain duduk, terus Kak Ain sibuk sangat berbual dan bertemu dengan rakan-rakan penulis.

Inilah meja kami. Meja yang semua ahlinya tak bangun ke mana-mana dari pukul 12.30 tengahari hingga 3.00 petang.


Dari kini: Kak Nik wartawan Majalah Muslimah, Cik Shikin editor PTS, AinMaisarah penulis, Ira Hazira bakal penulis, Tuan Nuriazam penulis, Kak Rose Harissa penulis, Kak Lily Haslina Nasir penulis dan Puan Asma editor PTS.

Okey, kepada yang mahu mengenali lebih dekat wajah penulis buku Gitar & Lolipop, Penyiasat Ekstrovert, Misi Aurora, Sindrom VX, Kaki Bola dan banyak lagi... inilah orangnya. Tuan Nuriazam Ismail. Sekali tengok, memang ada iras-iras Faizal Tahir! =D


Ini pula Puan Ida Rizyani. Ya Allah, memang Kak Ain teringin sangat nak berjumpa dengan penulis yang menghasilkan buku G.I.M, J.A.Y, Haura Harry, Elergi Tupai & Sepet dan Azam Farid. Sungguh tak sangka berjumpa juga dengan Puan Ida Rizyani di majlis hari raya tahun ini.

Tapi terkilan sedikit kerana tidak sempat merakamkan gambar berdua dari sisi depan. Harapnya ada rezeki untuk berjumpa dengan Puan Ida Rizyani lagi.


Ini pula penulis yang berjaya muncul dengan siri-siri Usahawan Cilik. Antara tajuk novel Puan Nor'Aini adalah Biskut Ajaib, Garaj Aiman dan Tukang Gunting Terbang.

Kak Ain respek sungguh dengan Puan Aini. Dapat berkarya dengan aktif walaupun sibuk menguruskan 3 orang putera dan puterinya!


Kak Ain turut berpeluang berjumpa buat kali kedua dengan Tuan A. Razak Adam. Inilah wajah seorang guru yang giat menulis. Antara novel remaja yang ditulis oleh Tuan Adam adalah Homestay Bayu, Kerepek AF dan Taman Botani Harapan.

(Nota tambahan: Hmmm... bergambar di sebelah Puan Asma yang bersaiz S, AinMaisarah rasa betapa perlunya memulakan diet. Aku Mahu Saiz S juga!)


Kak Ain juga sempat mengucapkan tahniah kepada Cik Adik Imah, seorang pembaca buku-buku remaja PTS yang kini sudahpun menghasilkan bukunya sendiri. Cik Adik Imah menulis 20% kandungan buku yang bertajuk Ikan Tawar untuk Lego. Umurnya baru 14 tahun!

Kak Ain bangga dengan Imah! Teruskan usaha ya! =D Chaiyok chaiyok!


Selain berjumpa para penulis, Kak Ain juga disapa oleh seorang guru bahasa Inggeris yang memperkenalkan diri sebagai Coach Sha. Coach Sha beritahu pernah membaca Aku Mahu ke New York 1 dan Aku Mahu ke New York 2. Selepas itu, Coach Sha terus mencari dan mengumpul buku-buku AinMaisarah yang lain.

Ah! Kembang-kembang hidung Kak Ain apabila dapat tahu ada orang dewasa yang sukakan buku-buku tulisan AinMaisarah. TQ Coach Sha!



Ini pula gambar yang sempat dirakam bersama Ira Hazira - Kak Ann - AinMaisarah. Rasanya ramai pengunjung Rumah Pink yang sudah kenal dengan Kak Ann. Kak Ann adalah editor PTS merangkap penulis buku Kaki Bola. Terima kasih kepada Kak Ann yang banyak melayan AinMaisarah. Paling penting, tolong ambilkan sate yang jadi rebutan semua =D Jasamu dikenang!

Kak Ain juga mahu ucapkan terima kasih kepada Ira Hazira kerana sudi bersabar mengikut Kak Ain ke hulu ke hilir. Harapan Kak Ain, Ira dapat mengutip semua pengalaman berharga berjumpa sendiri dengan penulis-penulis PTS, editor-editor PTS dan pemilik PTS.

Mulakan menulis sekarang juga ketika zaman muda belia. Kak Ain sendiri sekiranya boleh memutarkan kembali jarum masa, tentu mahu menulis pada usia 20 tahun dan bukan 25 tahun. Kak Ain yakin Ira boleh lakukannya! Chaiyok chaiyok!


Oh! Pada hari kejadian, sebenarnya Kak Ain tak dapat berjumpa dengan ramai lagi penulis PTS kerana tepat pukul 3.00 petang, Kak Ain naik ke pejabat PTS. Ada diskusi bagi menjayakan buku-buku Projek Diet AinMaisarah dan Projek Fesyen AinMaisarah.

Bagi kedua-dua buku ini, Kak Ain menulis bersama Kak Lily Haslina Nasir dan Kak Rose Harissa.



Alhamdulillah, perkembangan buku-buku ini positif dan memberangsangkan. Kak Ain akan kongsikan kepada semua cadangan cover buku ini apabila ianya siap kelak. Jutaan terima kasih buat Tuan Ikram dan Cik Shikin kerana sanggup meninggalkan hidangan lazat di majlis hari raya semata-mata untuk berdiskusi bersama AinMaisarah.

Turun-turun semula, jam sudah menunjukkan pukul 5.45 petang. Kerusi sudah disusun. Meja sudah diangkat. Makanan sudah licin bersih dan dikemas.

Di saat-saat akhir, Kak Ain sempat menggunapakai backdrop pentas bagi merakamkan kenangan bersama dua warga kerja PTS yang baru dikenali. Terima kasih Datuk Khairul dan Tuan Wahyudi. Selamat berkenalan AinMaisarah ucapkan!


Inilah kenangan AinMaisarah bersama Puan Ainon dan suaminya Prof Emiratus Abdullah Hassan ketika majlis raya PTS 2009.


Last but not least, inilah gambar terakhir yang dirakam ketika majlis raya PTS 2009. Dari kiri, Ira Hazira, Fatin, Fatimah Az-Zahra, Kak Ann, AinMaisarah, Rashiela Nurain.


Alhamdulillah, Kak Ain bersyukur sungguh diberi peluang berada dalam kelompok keluarga besar PTS. Semoga jalinan ukhuwah yang bertaut di antara kita semua berkekalan selamanya. Amin!

Salam Sayang,
AinMaisarah

15 October 2009

Rumah Terbuka PTS 2009

Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Kak Ain baru sahaja sampai rumah. Seharian berada di Rumah Terbuka Raya PTS. Haaa.... buat pertama kali juga, Kak Ain merasmikan baju raya yang sebelum ini tergantung dalam almari saja. Inilah baju raya AinMaisarah yang warnanya ungu-ungu gitu. Sudah di hujung-hujung Syawal baru nak digayakan.

(AinMaisarah bergambar dengan aksi cekak pinggang bagi memberi ilusi konon-kononnya tubuh langsing bersaiz S)


Buat pengetahuan, Rumah Terbuka Penerbitan PTS 2009 diadakan di pejabat PTS Batu Caves, bermula pukul 12.00 tengahari hingga pukul 5.00 petang.


Sepanjang berada di Rumah Terbuka PTS, Kak Ain berkesempatan berjumpa dengan ramai penulis, bakal penulis, para pembaca, staf PTS, juga kenalan baru dan lama. Seronok sungguh apabila setahun sekali berjumpa begini. Terasa membara semula semangat nak menulis beribu-ribu perkataan.

Di majlis rumah terbuka ini juga, buat pertama kali Kak Ain berpeluang merakam gambar kenangan bersama bos besar, pemilik, penasihat dan pengerusi kumpulan syarikat-syarikat PTS iaitu Puan Ainon Mohd.



Walaupun begitu tinggi pangkatnya... namun pada Kak Ain, Puan Ainon begitu senang didekati. Hubungan para penulis dengan pemilik PTS ini lebih kepada seorang ibu merangkap mentor yang tak putus-putus memberikan tunjuk ajar, bimbingan dan semangat dalam dunia penulisan.

Kak Ain doakan semoga Puan Ainon diberi kesihatan tubuh badan, diberi kejayaan berpanjangan dan kebahagiaan dunia akhirat bersama Prof Emeritus Abdullah Hassan.

Semoga Syarikat PTS juga terus berkembang maju dan jutaan terima kasih kerana sudi menerbitkan 10 buku-buku AinMaisarah. Moga-moga usahasama AinMaisarah dan PTS berterusan.

Amin!

Salam Sayang,
AinMaisarah
p/s: Ada banyak gambar ketika majlis yang Kak Ain mahu kongsikan bersama. Sekiranya mahu mengenali wajah penulis-penulis PTS, mesti tunggu entri seterusnya ya! =D

Beraya Bersama PTS

Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Hari ini Kak Ain akan pergi ke:


Nantikan laporannya =D

Salam Sayang,
AinMaisarah

11 October 2009

Hujung Minggu ke Majlis Perkahwinan dan Rumah Terbuka

Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Salam hujung minggu semua!

Hujung minggu begini, semua sibuk bercerita tentang jemputan rumah terbuka. Kak Ain sendiri menggagahkan diri menelan pelbagai ubat-ubatan yang berbiji-biji supaya dapat hadirkan diri memenuhi jemputan yang diberi.

Sekarang ini memang Kak Ain terasa badan belum cukup sihat. Ada lagi saki-baki virus selsema + batuk + pening kepala yang cuba menguasai . Tetapi Cik Abang kata tak baik menolak jemputan orang.

Ini wajah AinMaisarah yang cuba-cuba menghilangkan pucat dengan bantuan lipstik pink dari MAC. Berjayakah? Apa kata anda?

Majlis perkahwinan yang Kak Ain hadiri semalam adalah majlis perkahwinan Carrie Kirana (pengulas novel terkemuka yang pernah memberikan rating 4 bintang kepada novel Kak Ain bertajuk Aku Mahu Popular)

Majlis berlangsung di Dewan Ibukota, Gombak. Ketika majlis tersebut, Kak Ain sempat berjumpa dengan kumpulan penulis Jemari Seni bersama bos besarnya iaitu Kak Nor Suraya.


Staf penerbitan PTS yang ceria turut menghadirkan diri iaitu Tuan Aizat dan Tuan Irfan Jani. Isk! Jeles sungguh AinMaisarah dengan beg duit atas meja tuuuu =D


Kak Ain juga bertegur sapa dengan penulis tersohor Kak Lily Haslina Nasir, tetapi tidak sempat bergambar bersama =( Mungkin lain kali ya!

Oh! Tentunya Kak Ain mahu kongsikan bersama gambar Carrie Kirana yang menjadi tumpuan sebagai ratu sehari.


Pengantin berarak memasuki dewan.


Zoom Malaysia! Eh, salah! Zoom gambar pengantin.


Pelamin singgahsana yang berkonsepkan kuning keemasan.

Hidangan nasi minyak bersama ayam masak merah, rendang daging, dalca dan secubit acar buah. Memang menyelerakan!


Begitulah kemeriahan majlis perkahwinan Carrie Kirana. Malang sekali, Kak Ain tidak berpeluang bergambar bersama pengantin kerana pukul 3.00 petang, Kak Ain perlu bergerak keluar dari dewan. Ada undangan rumah terbuka yang lain pula. Kali ini Kak Ain ke rumah adik angkat Cik Abang sewaktu di UKM.

Di sana, sekali lagi Kak Ain dijemput menikmati pelbagai jenis juadah. Ada nasi lemak, bihun sup, pulut rendang, kuih-muih dan buah-buahan. Alhamdulillah! Banyaknya nikmat makanan!

Di situ juga, Kak Ain berjumpa dengan Nabilah dan Najwa. Dua pembaca buku AinMaisarah yang comel orangnya. Seronok dapat berbual panjang dengan mereka.


Lebih havoc, Nabilah dan Najwa mempunyai geng tersendiri. Semuanya membaca buku AinMaisarah! Waaa.... ini sudah bagus! Tolong sebar-sebarkan dan promosikan novel Kak Ain pada semua di sekolah ya!

Geng mereka berlima ini turut mempunyai nama tersendiri. Bukanlah geng pengembaraan Upin dan Ipin, sebaliknya diberi nama yang punya nilai komersial. Geng Cooler Ghost dianggotai oleh Nabilah, Najwa, Atiqah, Amalina dan Amalia.


InsyaAllah, ada rezeki kita jumpa lagi ya!

Itu cerita rumah terbuka yang dihadiri semalam. Hari Ahad ini ada beberapa undangan rumah terbuka lagi. Sekiranya ada masa, Kak Ain ceritakan dalam entri!

Salam Sayang,
AinMaisarah
p/s: Jutaan terima kasih kepada semua yang mendoakan kesihatan Kak Ain. Doa Kak Ain, moga-moga pengunjung Rumah Pink berada dalam kesejahteraan yang berpanjangan.

07 October 2009

Selamat Menghadapi PMR + Doakan AinMaisarah Sihat!

Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Pertama sekali, Kak Ain mohon maaf kerana terlewat mengucapkan selamat menghadapi peperiksaan kepada semua pembaca AinMaisarah yang menjadi calon PMR'09.

Kak Ain doakan semoga semua tenang dan diberi kemudahan menjawab soalan-soalan yang tentunya mencabar minda. Paling penting, mesti jaga kesihatan supaya sentiasa alert sepanjang peperiksaan.

Janganlah jadi macam Kak Ain yang sedang teruk dilanda demam selsema. Ini semua angkara virus yang dibawa oleh Cik Abang. Mulanya Cik Abang demam selama dua hari. Selepas itu, berjangkit kepada Kak Ain pula.

Sekarang sudah empat hari Kak Ain asyik bersin achooom-achooom tak henti-henti. Hidung juga memerah macam badut sarkas. Paling membimbangkan, demam tak surut-surut walaupun Kak Ain makan panadol soluble, setiap enam jam sekali.

Akhirnya petang semalam Kak Ain bersetuju dihantar menjalani pemeriksaan H1N1 di Taman Desa Medical Centre.


Sebaik berjumpa doktor dan memeriksa suhu badan, Kak Ain disarankan membuat pemeriksaan nasal swab test. Sedikit cecair dalam hidung perlu diambil untuk diujikaji.


Adoi! Sakit betul bila jururawat sesuka hati mencucuk dalam-dalam ke rongga hidung Kak Ain! Berpinar rasanya!


Setelah mendapat cecair hidung yang dikehendaki, Kak Ain diminta menunggu sehingga 3 minit sebelum mendapat keputusan pemeriksaan.


Akhirnya, doktor menunjukkan keputusan pemeriksaan. Hanya ada satu garis petanda yang kelihatan. Sekiranya seseorang itu menghidap influenza A H1N1, empat garis petanda akan ditunjukkan. Ini mengesahkan bahawa Kak Ain bebas dari penyakit berbahaya itu.

Alhamdulillah! Secara rasminya selsema yang Kak Ain hidapi ini adalah selsema biasa. Cuma mungkin lambat sembuh kerana Kak Ain kurang mengambil makanan berupa buah-buahan dan sayur-sayuran.

Sekarang ini Kak Ain sedang berehat di rumah. Harapnya selsema dan demam ini akan menjauh pergi secepat mungkin. Doakan Kak Ain cepat sihat ya!

Salam Sayang,
AinMaisarah

30 September 2009

Kisah 3 Syawal di Johor Bahru

Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Oleh kerana sekarang ini semua orang masih dalam mood raya dan semua blog-blog bercerita tentang raya, Kak Ain pun mahu masukkan entri berkaitan raya lagi. Kita kenalah ikut perkembangan dan permintaan semasa kan? =D

Kak Ain sudah ceritakan kisah 1 Syawal ketika beraya di KL. Pada 3 Syawal, Kak Ain dan Cik Abang bertolak balik ke JB pula. Tentulah mahu berjumpa keluarga sebelah Kak Ain. Di JB, Kak Ain tak sempat nak beraya ke mana-mana. Rumah asyik diserbu dengan kedatangan saudara-mara jauh dekat.


Walaupun letih, tetapi Kak Ain seronok sangat bila melihat mak Kak Ain tersenyum gembira. Selalu di rumah cuma ada bibik dan adik Kak Ain yang menemaninya. Jadi bila ramai-ramai datang berkunjung dan bercerita, meriah rumah jadinya. Kedatangan saudara-mara jauh dekat yang sudi ke JB untuk menjenguk kami sekeluarga amatlah dihargai.

Oleh kerana itu juga, selama beberapa hari di JB, Kak Ain tak sempat langsung masukkan entri baru. Haaa... kalau nak tahu, Kak Ain sibuk di dapur. Sibuk main masak-masak, buat air, potong kek dan sediakan kuih-muih untuk tetamu dan keluarga yang datang beraya.

Kak Ain juga belum berkesempatan pergi berhari raya ke mana-mana. Baju raya masih tergantung elok dan belum dicemari! =D Rasanya baju raya hanya akan dirasmikan ketika melawat open house di KL nanti.

Inilah antara gambar kenangan saudara mara yang datang berhari raya di rumah mak Kak Ain di JB.


~Setelah berkurun lamanya tak pegang sudip di dapur, Kak Ain kembali memasak di hari raya. Tetapi masalahnya terkurang bajet pula. Apabila nasi tengahari sudah habis dan mihun goreng berada di paras bahaya, Cik Abang bergegas ke KFC berdekatan. Mujur KFC buka kedai 365 hari setahun!~


~Bergambar bersama sepupu-sepupu yang bernama Ain juga!~


~Bergambar beramai-ramai dengan semangat yang tinggi. Siap susun-susun kerusi!~


~Sila teka lengan siapa yang Kak Ain peluk tu?~

~Alamak! Gambar sepupu Kak Ain, Syahir hanya nampak separuh muka. Cik Abang pula tak ada kepala!~

Selain kehadiran saudara-mara, tahun ini raya Kak Ain juga lebih berseri kerana dimeriahkan dengan kehadiran seekor kucing raya!

=D

Begini kisahnya. Sewaktu Kak Ain di JB, ada seekor anak kucing yang terjatuh di longkang belakang rumah. Setelah diselamatkan, kakinya kotor lagi busuk. Mulut pula bising mengeoww meminta makan. Mana mak kucing tu pergi, Kak Ain pun tak tahu. Rasanya ini kes buang anak kucing belakang rumah. Memang tak bertanggungjawab!

Oleh kerana sekarang ini bulan Syawal bulan suci mulia, maka Kak Ain terasa bertanggungjawab melakukan projek penyucian kucing itu supaya dia turut dapat bergembira di hari raya. Tetapi nak menyucikan kucing kecil itu bukan perkara mudah. Mula-mula mesti umpan dengan makanan kegemaran yang tentu menambat hatinya.


~Seekor sardin cap ayam diambil secara sembunyi-sembunyi dari kabinet simpanan mak.~



~Ketika anak kucing sedang leka makan, cepat-cepat cekup lehernya!~



~Masukkan dalam baldi tinggi supaya kucing tak boleh melompat lari~



~Apabila sudah dapat gaya pegangan yang kukuh dan kucing tidak menggigit, bolehlah dikeluarkan dari baldi. Cucilah dengan syampu wangi. Jangan sesekali pandang muka minta kasihan si kucing yang tentu sekali mahu dilepaskan diri!~


~Selepas mandi, balut dengan kain dan keringkan badannya. Akhir sekali, jangan lupa taburkan bedak Dettol supaya terpelihara dari kuman H1N1~


~Hasil akhir penyucian.... WALLAH! Seekor kucing raya yang cantik lagi manja!~


Kak Ain memang betul-betul jatuh hati dengan anak kucing yang satu ini kerana belum apa-apa sudah menunjukkan ciri-ciri kucing yang setia. Sebaik sahaja dimandikan, anak kucing ini tak mahu turun dari pangku. Malah si kucing ini siap letak tangan comelnya di atas tangan Kak Ain! Auwwww..... =D Mungkin itu tanda terima kasih. Mungkin itu caranya nak bersalaman di hari raya Aidilfitri mulia!

Sebelum balik KL, Kak Ain sudah berpesan supaya anak kucing ini diberi makan Friskies yang Kak Ain belikan (sudah tak boleh ambil sardin dalam kabinet sebab mak Kak Ain bengang sangat bila tahu sardin simpanannya jadi mangsa!)

Nanti bila Kak Ain balik JB lagi, harapnya anak kucing raya ini ada lagi!

Okey... cerita raya Kak Ain sudah habis. Selepas ini InsyaAllah Kak Ain akan ceritakan perkembangan buku-buku terbaru yang sedang dalam proses penerbitan pula!

Salam Sayang,
AinMaisarah

27 September 2009

Kisah 1 Syawal di KL

Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Alhamdulillah, Kak Ain baru sahaja selamat sampai di rumah. Seminggu Kak Ain bercuti dan meluangkan masa berhari raya bersama keluarga.

Nak kongsi cerita tentang hari raya Kak Ain, 1 Syawal disambut bersama dengan keluarga mertua. Oleh kerana tahun ini kampung Cik Abang sudah tiada (sila baca di sini dan sini bagi mengetahui sebabnya) jadi kami berhari raya di KL sahaja.

Selepas solat hari raya, kami sekeluarga ke taman rekreasi di Cheras.


Sengaja mencari suasana kampung dan makan pagi raya di pondok berehat yang ala-ala rumah kampung mini ini.


Tambah pula di hadapan pondok tersebut ada sebuah air terjun buatan. Ditemani bunyi pancuran air, memang Kak Ain terasa betul-betul berada di dalam sebuah rumah kampung yang di tepinya ada sungai!


Setelah kenyang makan lemang dan rendang bersama, Cik Abang ajak ke rumah terbuka Perdana Menteri. Ketika itu kami gelak-gelak sahaja. Tetapi tak sangka Cik Abang serius membawa kereta ke Putrajaya. Buat pertama kali, Kak Ain mencipta sejarah menghadiri rumah terbuka Perdana Menteri yang diadakan di Kompleks Seri Perdana.

Sampai di sana, WAAAA.... banyaknya khemah konsep putih & ungu yang dipasang! Terasa bagaikan menghadiri sebuah majlis perkahwinan mega lagi besar-besaran!

Makanan yang disediakan juga pelbagai. Ada nasi beryani dengan lauk-pauk.


Ada lemang yang tentu sekali dihidangkan bersama pelbagai jenis rendang.


Terdapat juga laksa, soto, capati, sate, cendol, mihun sup, aneka kuih-muih dan putu mayam yang boleh didapati di gerai-gerai sepanjang khemah dipasang.

GERAI ANEKA SUP


GERAI LAKSA


GERAI PUTU MAYAM & CAPATI


GERAI ANEKA AIR MINUMAN


Pendek kata, memang macam-macam ada!

Selesai makan, tentu sekali kami mengambil gambar sebagai bukti pernah menghadiri majlis rumah terbuka PM. Nanti Kak Ain nak tunjuk pada anak cucu! =D


Tidak lupa juga, kami bergambar di hadapan Kompleks Seri Perdana sambil menayang air mineral yang dibawa balik sebagai buah tangan. Peringatan kepada semua yang mahu hadir rumah terbuka PM pada tahun hadapan, YB Dato' Seri Najib Tun Razak dan Datin Seri Rosmah Mansor tidak menyediakan duit raya buat individu dewasa seperti dalam gambar di bawah.

Itu kisah 1 Syawal Kak Ain. Terasa unik kerana pertama kali berhari raya di kota. Pergi rumah terbuka PM pula! Walaubagaimanapun, Kak Ain tetap merasakan berhari raya di kampung lebih meriah dan bermakna!

Di mana pula para pembaca Rumah Pink AinMaisarah berhari raya?

Salam Syawal,
AinMaisarah

20 September 2009

Selamat Hari Raya, Maaf Zahir Batin.


Assalamualaikum,

Kak Ain sedang bersiap-siap untuk pergi sembahyang sunat Hari Raya di masjid Putrajaya. Kak Ain ingin mengucapkan SELAMAT HARI RAYA kepada semua pengunjung Rumah Pink AinMaisarah.

Semoga bulan Syawal yang menjelang membawa kerahmatan dan kebahagiaan dalam hidup kita.

Kak Ain ingin meminta maaf sekiranya ada salah silap, terutama mesej-mesej yang tidak berbalas, e-mel yang terlepas pandang, soalan-soalan yang tidak berjawab, kelewatan menghantar buku dan apa jua kesalahan lain yang telah Kak Ain lakukan samada sedar ataupun tidak sedar.

Salam sayang,
AinMaisarah



14 September 2009

Baju Raya & Perjumpaan Raya

Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Pagi ini Kak Ain pulang ke Johor Bahru untuk menghantar kuih raya dan kek raya buat ibunda tercinta. Rancangannya, Kak Ain akan berada di sana selama dua hari. Mahu melangsaikan hutang beli baju raya pada emak, adik dan bibik. Kasihan mereka. Last minute shopping!

Kak Ain sendiri sudah membeli sehelai baju kurung moden warna ungu-ungu gitu di Metrojaya, Mid Valley. Tapi tudung sedondon tak jumpa lagi. Kak Ain memang ada masalah mencari tudung. Harapnya adalah jodoh bertemu tudung sesuai. Amin!

Haaa.... para pengunjung Rumah Pink sudah beli baju raya? Warna apa? Kak Ain sedang berangan-angan dengan Cik Abang. Nak adakan satu perjumpaan raya dengan para pembaca. Nanti bolehlah kita berjumpa dan bergaya dengan baju raya. Masing-masing juga bawa kuih raya rangup-rangup. Seronok kan?

Ada apa-apa cadangan perancangan perjumpaan hari raya?

Salam Sayang,
AinMaisarah