17 September 2011

Entri Pegelap Habuk Blog Bersawang

Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Moga-moga semua pengunjung blog ini diberi kesihatan, perlindungan dan keceriaan berpanjangan.

Aduhai! Lamanya Rumah Pink AinMaisarah ditinggalkan! Hmm... mungkin Kak Ain cuba ikut kata pepatah. Sayangkan blog, tinggal-tinggalkan! Hehehe... alasan sungguh! =)

Apapun Kak Ain ucapkan terima kasih kepada semua pembaca yang selalu mengunjungi. Malah ramai beri mesej dan e-mel supaya Kak Ain masukkan entri terbaru di sini. Kepada pembaca-pembaca setia AinMaisarah, terima kasih kerana terus menyokong. Anda semua memang....

TERBAIK!


Sebenarnya catatan di Rumah Pink AinMaisarah ini bersifat perkongsian informasi dengan pembaca. Apa yang Kak Ain mahu kongsikan? Tentulah kisah perkembangan buku yang rancak bergerak. Tentu juga cerita-cerita pengalaman hidup yang tersimpan dengan banyak. Moga-moga ada nilai positif yang boleh dihadam.

Namun pada masa yang sama, Kak Ain perlu dahulukan penulisan dan kerja-kerja melunaskan novel-novel terbaru. Lagi-lagi apabila kini Kak Ain ada tanggungjawab syarikat sendiri. Ada amanah daripada pelabur-pelabur yang pastinya mahu melihat syarikat buku baru BLINK BOOK Sdn. Bhd. berkembang maju dalam industri buku tempatan.



Amanah inilah yang sedang Kak Ain galas dan ia bukan kerja mudah. Jadi Kak Ain harap pembaca Kak Ain faham situasi Kak Ain sekarang. Kak Ain kini bukan lagi hanya menulis novel, Kak Ain ada produksi penerbitan sendiri yang perlu dijaga. Memang mencabar tetapi Kak Ain suka stress positif sebegini kerana dengan itulah kita boleh bergerak maju ke hadapan lagi.

Tahun 2011 ini, Kak Ain akui... makin lama Kak Ain makin sibuk. Hinggakan mahu bercuti pun tertangguh-tangguh. Ikutkan, Kak Ain sudah beli pakej ke Australia dan Pulau Gemia di Terengganu. Tetapi memang tiada masa mahu ke sana dan tidak sanggup meninggalkan kerja yang bertimbun-timbun.

Tetapi syukur pada Tuhan, dalam banyak-banyak percutian, niat Kak Ain mahu menunaikan umrah dipermudahkan. Itu sebabnya Kak Ain sangat gembira kerana dengan izinNya, Kak Ain dapat menunaikan umrah pada hujung bulan Ramadhan. Tahun ini juga Kak Ain tidak beraya di Malaysia, sebaliknya menikmati Syawal di Mekah sana! Memang ia terasa sungguh-sungguh berbeza!




Paling seronok, Kak Ain bukan sahaja pergi dengan suami. Berkesempatan juga membawa emak dan adik Kak Ain! Dan ianya dapat direalisasi dengan menggunakan wang royalti Kak Ain menulis novel. Alhamdulillah, Kak Ain mahu tulis buku rajin-rajin, fikirkan idea hebat-hebat dan kerja kuat-kuat supaya dapat jejakkan kaki lagi ke sini bersama keluarga lagi!

Awalnya susah betul mahu cari masa. Tambah lagi, jadual Kak Ain penuh dengan Program Jelajah Sekolah. Perancangan awal adalah mahu pergi menunaikan umrah pada bulan Julai. Maklumlah, takut tidak larat berpuasa di Mekah. Tetapi itu perancangan kita sebagai manusia. Akhirnya Tuhan tetap lorongkan supaya permohonan visa dan kekosongan pakej hanya berlaku pada minggu terakhir bulan Ramadhan.

Dan Kak Ain bersyukur dapat ke sana pada waktu itu! Rupa-rupanya minggu terakhir Ramadhan bagaikan Pesta Ibadah yang sangat meriah! Jadual solat Terawih adalah dari pukul 9.00 malam - 11.00 malam. Disambung pula solat Tahajjud, pukul 1.00 pagi - 3.00 pagi. Kemudian balik seketika ke hotel untuk bersahur sebelum pergi lagi ke masjid pukul 4.30 pagi bagi menunaikan solat Subuh. Selepas itu niat iktikaf dan tunggu waktu Dhuha. Pukul 9.00 pagi barulah kembali ke hotel dan berehat.

Sekiranya berada di Malaysia, pasti Kak Ain tidak mampu melakukan itu semua secara sendirian. 12 jam berada di dalam masjid, tidak keluar-keluar! Mengaji, bersolat, berzikir dan bermunajat. Tanpa memikirkan hal dunia dan sentiasa ketakutan teringatkan dosa-dosa. Sungguh, di sana ianya terasa berbeza. Sungguh... itulah kelebihan berada di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi, dua tanah suci peninggalan Rasulullah kepada kita.




Kak Ain doakan moga pembaca-pembaca dan pengunjung blog ini diberi rezeki oleh Ilahi supaya dapat mengunjungi kiblat kita bersolat 5 kali setiap hari. Dapat melihat rumah suci Allah di muka bumi ini. Dapat memohon sebanyak-banyak rahmat, keberkatan dan keampunan buat diri kita dan keluarga yang disayangi.

InsyaAllah... InsyaAllah! Mari kita tanamkan azam kerja kuat-kuat dan simpan duit dalam tabung banyak-banyak supaya dapat jejakkan kaki ke Mekah! =)

Salam Sayang,
AinMaisarah

10 comments:

aisyahtulfaqihah said...

Saya pun teringin hendak pergi Makkah !!

lailaazhar said...

wahhh , teringinnya nak pergi mekah :]

DANCEY said...

wahh kak ain!beruntung lah kak ain dapat jejak kaki ke sana!sye pun teringin skali nak bawak keluarga ke sana suatu hari nanti!kak ain doakan pembaca2 kak ain yg setia ni dapat ke sana jgak ye!kak ain the best!:D

nisrina said...

sy pun sama nk gi mekah. beruntung kak ain dpt gi sn...

Anonymous said...

Saya InsyaAllah pegi thun dpn

Nurul Nadia said...
This comment has been removed by the author.
Nurul Nadia said...

Salam..Apa kata Kak Ain buat buku AKU MAHU KE MAKKAH!Kak Ain ceritalah berdasarkan pengalaman kak Ain.

Imanina said...

Assalamualaikum Kak Ain, seronokkan pergi umrah. Saya pun ada cita-cita untuk pergi menunaikan ibadah haji dan umrah. Kak Ain doakan saya ya?

Unknown said...

saya dah pernah pergi Makkah ! Best sangat! teringin nak ke sana lagi :)

AinMaisarah said...

Alhamdulillah, ramai mahu menunaikan umrah. Kak Ain doakan Allah izinkan dan permudahkan semua hamba-hambaNya ke sana. Amin!